PULAU PINANG 3 Okt. - Pemimpin tertinggi parti pembangkang didesak mengeluarkan pendirian tegas dan kukuh berhubung hukum hudud supaya tidak mengelirukan rakyat terutamanya orang bukan Islam.
Ini penting kerana pendirian ketiga-tiga pemimpin parti pembangkang iaitu Pas, DAP dan PKR dilihat agak berbeza.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, pandangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat masih tidak selaras berhubung pelaksanaan hukum hudud.
"Ketua Menteri (Guan Eng) dengan sikapnya yang suka menang dan menunjukkan reputasi heronya serta mengelak untuk mengulas isu berkenaan sahaja.
"
Ini menunjukkan Guan Eng adalah seorang ahli politik yang tidak berani menghadapi masalah terutama isu yang besar. Bagaimanapun, hanya Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang berani menegaskan pendirian mengenai hukum hudud ini sejak dahulu lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat para peniaga di Pasar Mount Erskine, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hock Nan yang merupakan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang mempertikaikan bagaimana parti pembangkang boleh menguruskan negara, sedangkan mereka mempunyai pandangan yang berbeza mengenai sesuatu isu dan tiada persepakatan.
Sehubungan itu, beliau mendesak parti pembangkang agar menyatakan pendirian yang jelas mengenai hukum hudud terutama kepada orang bukan Islam dan tidak lagi mengelirukan orang ramai demi kepentingan diri sendiri sahaja.
"Sebaliknya, BN mempunyai pendirian yang sangat jelas dengan mengumumkan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan disebabkan ia bercanggah dengan Perlembagaan di negara ini," katanya.
Post a Comment