Headlines News :
Home » , » Pemuda UMNO Bukit Mertajam hulur bantuan kepada mangsa kebakaran

Pemuda UMNO Bukit Mertajam hulur bantuan kepada mangsa kebakaran


BUKIT MERTAJAM – Mangsa kebakaran di Kampung Baru Alma, 2 September lalu, menerima bantuan daripada Pemuda Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Ketuanya, Mohamad Fauzi Sharif berkata, bantuan berupa dua pasang baju sekolah, kasut, beg dan peralatan pembelajaran diberikan kepada empat cucu Rabaayah Ahmad, 76, yang memulakan sesi persekolahan kelmarin.

Menurutnya, keempat-keempat mereka adalah Nur Aqilah Saidin, 6, Mohd Adib Saidin,7, Nur Amira Syazwani Saidin,12 dan Mohd Soddri Razmi,15.

Menurutnya, ahli keluarga lain yang terlibat diberikan pakaian terpakai yang dikumpulkan Pemuda Cawangan Kampung Baru Alma dan Jalan Megat Harun.

“Sumbangan ini diberikan memandangkan semua kelengkapan persekolahan keempat-empat mereka musnah dalam kebakaran pagi Jumaat lalu. Manakala, bagi buku teks pula, kita akan meminta pihak sekolah untuk memberikan yang baru.

“Kita berharap mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa dan tidak patah semangat dengan apa yang berlaku,” katanya.

Rabaayah ketika ditemui meluahkan rasa syukur di atas sumbangan yang diberikan.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah suratan takdir dan menerima dengan hati terbuka meskipun pada mulanya amat sedih berikutan rumah pusaka yang didiami sejak lebih 70 tahun itu lenyap sekelip mata.

“Nak menangis sudah tidak berguna lagi kerana semuanya sudah terjadi. Saya bersyukur kerana selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga.

“Buat masa sekarang saya tinggal bersama anak, Norsiah Ismail, 48, sementara mencari rumah lain untuk disewa,” katanya.

Terdahulu, rumah dua tingkat separa papan yang dihuni 12 sekeluarga itu musnah, dalam kejadian sekitar 11 pagi, 2 September lalu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Turut musnah dua kereta jenis Proton Iswara dan sebuah motosikal yang diletakkan di garaj.

Kejadian berlaku ketika kesemua mereka sedang menonton televisyen dan terhidu bau gas, dipercayai dari peti sejuk.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger