GEORGETOWN - Kebenaran pembinaan projek perumahan di lereng bukit di Taman Desaria, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini diberikan selepas hasil kajian yang dilakukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan keputusan Lembaga Rayuan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow berkata, kenyataan Jawatankuasa Membantah Projek Persatuan Penduduk Desaria (DRRA) bahawa permohonan projek terbabit ditolak sebanyak 11 kali oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana khuatir dengan faktor keselamatan sebelum ini adalah tidak benar sebaliknya ia hanya sekali sahaja.
Menurutnya, MPPP sudah menilai permohonan syarikat pemaju dan meluluskan projek berkenaan berikutan tanah terbabit yang dulunya adalah zon pendidikan sudah ditukar statusnya kepada zon perumahan am.
“Berdasarkan rekod MPPP, hanya ada satu permohonan saja yang dibuat pada 2004 dan selepas itu, pemaju mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan berikutan kawasan terbabit sudah banyak sekolah.
“Kerajaan Negeri dan MPPP memberi kelulusan berdasarkan keputusan Lembaga Rayuan bahawa projek terbabit dibenarkan kerana status tanahnya sudah bertukar malah ia menepati syarat pembinaan,” katanya ketika ditemui di tapak projek di Lengkok Kenari 1, Taman Desaria di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, Abdul Malik Kassim dan Pengurus Projek Palmex Industri Sdn Bhd, Chan Wai Ming.
Kon Yeow berkata, pihaknya yang akur dengan keputusan kerana tiada sebarang perintah mahkamah yang menghalang pemaju untuk meneruskan projek terbabit.
:“Namun penduduk ada membuat rayuan dan menunggu keputusan Lembaga Rayuan yang akan diputuskan pertengahan bulan depan manakala pemaju bersetuju untuk menjalankan kerja tanah saja.
“Kerja tanah terbabit meliputi pemasangan alat keselamatan serta pelindungan dan penstrukturan bagi mengelakkan banjir lumpur, tanah runtuh dan gelinciran batu,” katanya.
Menurutnya, Lembaga Rayuan bukan di bawah MPPP seperti yang dinyatakan penduduk, ianya ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri.
“Majlis tidak boleh ingkar arahan Lembaga Rayuan kerana ia badan kehakiman,” katanya.
Post a Comment