Headlines News :
Home » , » Pilihanraya masjid : Rakyat puji kebijaksanaan keputusan Tuanku , marah kepada Kerajaan DAP

Pilihanraya masjid : Rakyat puji kebijaksanaan keputusan Tuanku , marah kepada Kerajaan DAP




AKHIRNYA segala teka-teki berkaitan usaha untuk mengadakan pilihan raya masjid di Pulau Pinang menemui noktahnya.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Pulau Pinang telah menitahkan agar pilihan raya terbabit ditangguhkan bagi mengelak institusi agama itu dicemari dengan unsur politik yang boleh memecah belah umat Islam.

Keputusan bijak dan berhemah Tuanku Mizan ini sekali gus berjaya meleraikan pelbagai spekulasi dan kekalutan yang mula melanda umat Islam sejak cadangan untuk mengadakan pilihan raya masjid ini mula dicanangkan.

Kita pasti seluruh umat Islam negara ini menarik nafas lega dan panjang dengan keputusan ini. Hal ini kerana rata-rata majoriti umat Islam tidak setuju dengan cadangan ini dan mula mencongak nasib yang bakal menimpa umat Islam akibat daripada perpecahan yang bakal berlaku melalui pilihan raya seperti ini.

Ini kerana, mutakhir ini terlalu banyak isu berkaitan sensitiviti umat Islam mula menjadi perbualan hangat. Ketirisan dan kerapuhan dalam perpaduan umat Islam negara ini juga mula menjadi satu persoalan yang besar dan merisaukan.

Justeru apakah kita mahu isu terbaru seperti pilihan raya masjid ini terus memporak-perandakan perpaduan di kalangan umat Islam?

Cukuplah segala apa yang telah dan sedang berlaku. Usahlah kita menambah lagi masalah dan isu yang boleh menggoncang perpaduan sesama umat Islam.

Masjid adalah satu-satunya tempat di mana kita boleh melupakan segala persengketaan, kesusahan, kemarahan serta perbezaan pangkat, darjat dan kedudukan yang ada di antara kita. Justeru biarlah status dan keadaan itu terus kekal begitu. Janganlah kita cemari kesucian rumah Allah ini hanya kerana kepentingan politik semata-mata.

Masih terdapat banyak lagi pentas dan tempat untuk kita berpolitik. Apa pun biarlah ia berlaku dan mengambil tempat di luar pagar masjid.

Perkara ini penting kerana persengketaan dan tuduh menuduh antara umat Islam di negara kita semakin hari semakin ketara tanpa mempedulikan tempat dan masa.

Maka sekurang-kurangnya biarlah masjid menjadi tempat yang boleh menyatukan mereka dan juga menjadi satu-satunya tempat yang mereka boleh melupakan segala persengketaan dan perselisihan faham yang ada.

Justeru dalam hal ini kita amat menyanjung tinggi dan wajib berterima kasih kepada Tuanku Mizan di atas keputusan tersebut yang mampu menyelamatkan perpecahan umat Islam.

Semoga tiada lagi usaha-usaha seperti ini yang boleh meruntuhkan jambatan perpaduan di kalangan umat Islam. Daulat Tuanku.-20/6/2011
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger