GEORGETOWN - Wakil rakyat DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tergamam apabila diminta menunjukkan jumlah rumah mampu milik dan kos rendah yang telah dibina untuk rakyat negeri ini sepanjang tujuh tahun memerintah.
Mereka sebelum itu membuat tuduhan melulu apabila Pengerusi Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo mendakwa, Kerajaan Pusat gagal melaksanakan projek perumahan mampu milik di negeri ini.
Tuduhan berkenaan menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid bangun dan meminta kerajaan negeri menyatakan jumlah rumah kos rendah yang sudah dibina dan jika ada, beliau ingin tahu lokasinya.
Jahara (BN-Teluk Air Tawar) berkata, jika kerajaan DAP Pulau Pinang menuduh Kerajaan Pusat gagal dalam isu rumah mampu milik dan kos rendah di negeri ini, kerajaan negeri juga gagal kerana tidak membinanya.
“Sekiranya kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan dasar perumahan yang akan dilaksanakan Kerajaan Pusat, maka rundingan perlulah dilakukan dan bukannya membuat tuduhan tanpa asas,” katanya ketika mencelah dalam sesi soalan lisan Yeoh Soon Hin (DAP-Paya Terubong) dalam Sidang DUN, di sini hari ini.
Jahara kemudian menjelaskan, Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di negeri ini bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.
Katanya, wakil rakyat BN boleh memberi jaminan bahawa PRIMA akan dilaksanakan di negeri ini dan Kerajaan Pusat akan menunaikan janji terhadap rakyat kerana jika tidak ia akan memberi tamparan hebat terhadap BN.
Post a Comment