Headlines News :
Home » » RM180 JUTA SEJAK 2008 PERUNTUKAN HAL EHWAL ISLAM KERAJAAN BN UNTUK P.PINANG @dzainalabidin

RM180 JUTA SEJAK 2008 PERUNTUKAN HAL EHWAL ISLAM KERAJAAN BN UNTUK P.PINANG @dzainalabidin




NIBONG TEBAL 25 Ogos - Kerajaan Persekutuan terus menyalurkan peruntukan besar untuk kegunaan hal ehwal agama Islam di negeri ini bagi memastikan perkembangan dan syiar Islam dapat disuburkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi peruntukan sebanyak RM180 juta untuk pelbagai program keagamaan sejak 2008 hingga tahun ini.

"Peruntukan ini digunakan untuk membina masjid baharu serta membaiki masjid lama, menaik taraf surau, menjalankan program keagamaan termasuk ketika bulan Ramadan selain pembayaran elaun kepada guru agama, imam dan penyelaras masjid di seluruh negeri," katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian Masjid Jamek, Sungai Acheh dekat sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Masjid berkenaan siap dibina dalam masa tiga tahun mengikut jadual dengan kos sebanyak RM5.5 juta dan dapat menampung 1,200 jemaah dalam satu-satu masa.

Masjid itu turut dilengkapi beberapa kemudahan seperti bilik mesyuarat, ruang pejabat, tandas, kemudahan meletak kereta dan lain-lain.

Zainal Abidin berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM4 juta dibiayai Kerajaan Pusat manakala bakinya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Katanya, dalam masa terdekat, sebanyak tiga buah masjid baharu yang sedang dalam pembinaan akan siap membabitkan kos sebanyak RM10 juta iaitu di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh, Teluk Kumbar dan Penaga.

"Sehubungan itu, saya berharap supaya institusi masjid akan terus menjadi tempat penyatuan umat Islam dan mengenepikan perbezaan yang wujud demi kekuatan ummah," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger