Headlines News :
Home » » PRK TELUK INTAN BUKAN PENTAS PILIH RATU CANTIK - KHAIRY

PRK TELUK INTAN BUKAN PENTAS PILIH RATU CANTIK - KHAIRY



- Datuk Mah Siew Keong merupakan seorang pemimpin berkaliber dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun tewas dalam pilihan raya umum lalu, Siew Keong memiliki pengalaman luas dalam politik, malah kedudukannya sebagai Presiden Gerakan menjadikan pengaruhnya agak kuat dalam kerajaan.

Menurut Khairy, Siew Keong merupakan anak tempatan yang lahir dan dibesarkan di Teluk Intan yang secara tidak langsung memudahkan pemimpin itu memberi khidmat dan membantu menyelesaikan masalah setempat.

“Pengundi di sini kena ingat, PRK Parlimen Teluk Intan bukan pertandingan ratu cantik tetapi medan untuk memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat, bawa kemajuan dan pembangunan, selain berjuang di kawasan ini.

“Saya risau kalau hanya pilih calon berdasarkan paras rupa tapi tidak tahu pasal Teluk Intan, apa akan jadi pada kawasan ini nanti. Bagaimana pula dengan nasib rakyat di sini,'' katanya ketika berucap melancarkan Skuad Pemuda Bermotor di Pusat Gerakan BN Teluk Intan, di sini hari ini.

Justeru, Khairy berkata, pengundi Teluk Intan sepatutnya memberi peluang kepada Siew Keong untuk kembali berkhidmat dan meneruskan per­khidmatannya di kawasan tersebut yang sebelum ini pernah diwakilinya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda BN di sini, Khairy berkata, dalam meraih sokongan hampir 20,905 pengundi bawah umur 40 tahun di kawasan Teluk Intan, pihaknya akan menggerakkan jenteranya melalui pelbagai program terma­suk ceramah, program santai dan menemui orang ramai dari rumah ke rumah.
Selain itu, jelas beliau, satu jawatankuasa khas penerangan tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut digerakkan dalam usaha memberi penjelasan kepada generasi muda tentang pelaksanaan cukai tersebut.
Dalam pada itu, mengulas tentang desakan daripada veteran UMNO yang mahu keahlian ibu calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dilucutkan, Khairy berkata, isu itu bukan keutamaan parti ketika ini.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger