Headlines News :
Home » » CALON BEBAS NABI BUX DAKWA GUAN ENG PERNAH CAKAP PEMIMPIN PAS SETUJU HUDUD

CALON BEBAS NABI BUX DAKWA GUAN ENG PERNAH CAKAP PEMIMPIN PAS SETUJU HUDUD



Ramkarpal Singh Deo tidak berhak mewakili DAP untuk membuat kenyataan berhubung hukum hudud, kata calon Bebas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat pasar Taman Tun Sardon, Gelugor di Georgetown hari ini, Mohamed Nabi Bux berkata ini kerana Ramkarpal tiada jawatan dalam parti selain jangka masa keanggotaannya dalam DAP juga dipersoal anggota parti itu sendiri.

Mohamed Nabi Bux berkata demikian bagi membidas kenyataan Ramkarpal Singh baru-baru ini bahawa beliau mempunyai pendirian sama dengan mendiang bapanya Karpal Singh dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Mohamed Nabi Bux juga mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng secara sulit menyokong penuh pelaksanaan hukum hudud di Kelantan demi kepentingan politiknya di negeri ini.

Walaupun Lim sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri menolak pelaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang, Mohamed Nabi Bux mendakwa ketua menteri itu secara sulit menyokong hukum hudud demi mengambil hati pemimpin PAS.

Ditanya bila Lim menyatakan sokongannya terhadap hukum hudud, Mohamed Nabi Bux berkata:

"Dia tidak akan beritahu saya atau rakyat, beliau akan beritahu pemimpin PAS. Ini semua kepentingan politik. Dia memang setuju, saya tahu dia 100 peratus setuju...secara sulit, (kerana) politik dia mesti setuju."

Sementara itu, Mohamed Nabi Bux berkata beliau bersedia untuk dihadapkan ke Lembaga Disiplin PAS sekiranya Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berhasrat mengambil tindakan terhadapnya.

"Kalau (Datuk) Mahfuz nak bawa saya ke lembaga disiplin parti saya tak gentar, dipersilakan," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamed Nabi Bux dan Ramkarpal Singh serta calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan calon bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

-Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger