Gabungan NGO Prihatin Urusan Masyarakat India Pulau Pinang atau Coalition of NGO's On Indian Affairs in Penang (Copingo) hari ini mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhenti bermain politik dan segera menyelesaikan masalah rakyat terutama masyarakat India di negeri ini.
Pengerusinya, N. Ganesan berkata, masalah masyarakat India di negeri ini semakin meruncing memandangkan tiada penyelesaian khusus yang dirangka kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan masyarakat India terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya, masalah seperti pengusiran pekerja ladang, tanah untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), tanah kuil, tanah perkuburan dan pusat pembakaran mayat, dasar perumahan negeri dan peluang pekerjaan serta gaji minimum dilihat tidak dirangka dengan baik oleh kerajaan negeri dalam membela nasib masyarakat India.
"Berhenti daripada terus bermain politik kononnya mahu menyediakan tanah untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT) sedangkan sehingga kini isu tanah SJKT masih ada yang belum selesai.
"Contohnya, SJKT Ranjaji yang terletak dalam Parlimen Bagan sendiri sehingga kini belum diberi hak milikan tanah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengetuai kira-kira 50 masyarakat India dan ahli Copingo berarak dan mengadakan bantahan secara aman di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.
Dalam perarakan dan bantahan tersebut, Copingo mendesak kerajaan negeri khususnya Guan Eng untuk memberi fokus terhadap enam masalah yang dihadapi masyarakat India yang kurang berkemampuan di negeri ini.
Antaranya ialah masalah pengusiran pekerja ladang yang hanya diberikan pampasan sebanyak RM4,200, masalah tanah SJKT yang sehingga kini belum diselesaikan dan masalah tanah perkuburan India.
Mengulas mengenai bantahan diadakan, Ganesan berkata, mereka kesal kerana kerajaan negeri tergamak membiarkan pekerja ladang diusir dari ladang mereka dengan pampasan yang tidak sampai RM5,000.
"Mereka telah hidup di ladang sejak sekian lama dan kebanyakan mereka sudah uzur, jadi bagaimana mereka boleh dibiarkan dengan hanya diberi pampasan yang tidak seberapa.
"Saya mahu tanya, berapa banyak rumah yang berharga RM4,200 dibina kerajaan negeri? Dengan pampasan sebanyak itu adakah mereka mampu untuk mencari penempatan lain? Adakah ini adil untuk mereka," soalnya.
Ganesan menambah, apa yang dibangkitkan pihaknya adalah suara sebahagian masyarakat India dan sebagai kerajaan negeri adalah menjadi tanggungjawab Guan Eng untuk menjamin dan membela nasib semua rakyat negeri ini.
"Kami mahu satu pelan penyelesaian masalah terhadap enam perkara yang dibangkitkan ini dirangka supaya masalah berkenaan tidak lagi berpanjangan dan nasib masyarakat India khususnya mereka yang kurang berkemampuan ini terbela dan terjamin," tegasnya.
+ comments + 1 comments
Sekapai apa hang ngan depa
Post a Comment