PULAU PINANG 14 Jan. - Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo digesa tidak lagi bersandiwara sebaliknya segera mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah bagi mengotakan janjinya mengambil tindakan undang-undang terhadap badan kerajaan itu.
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, Gobind dan semua pemimpin DAP boleh dianggap sebagai pemimpin 'pandai temberang' serta tidak mempunyai integriti.
"Kita harap apa yang ditegaskan Gobind dalam sebuah portal berita propembangkang hari ini bukan lagi gimik dan sandiwara politik semata-mata.
"Seluruh rakyat sedang memerhati status DAP yang telah beroperasi secara haram dan bertentangan dengan perlembagaan partinya sendiri termasuk undang-undang sejak pertengahan Disember 2012," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita propembangkang hari ini yang melaporkan DAP akhirnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencabar Gobind mempamerkan surat guaman selepas beliau membuat kenyataan telah menghantar sepucuk surat bagi menyaman ROS berhubung kesahihan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti DAP.
Walau bagaimanapun, ROS mendakwa tidak menerima sebarang surat guaman seperti didakwa DAP sebaliknya hanya surat memohon penjelasan kesahihan pemilihan CEC yang ditandatangani Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng.
Rahmad menambah, rakyat berhak tahu adakah di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966, ROS diberi kuasa mutlak dan tidak bertindak di luar batasan dengan mengeluarkan surat arahan kepada DAP berhubung pemilihan parti itu pada 6 Disember tahun lalu.
"Kredibiliti dan hala tuju DAP selepas ini akan terjawab selepas mahkamah membuat keputusan nanti, malah isu ini juga penting kerana melibatkan tafsiran undang-undang yang bakal diguna pakai pada masa depan," katanya.
Post a Comment