Home »
UMNO Penang
» UMNO P.PINANG DEDAH BERLAKU PENIPUAN PILIHANRAYA MASJID
Umno Negeri Pulau Pinang kecewa dengan tindakan kariah beberapa masjid di negeri ini cuba memanipulasi keputusan pemilihan jawatankuasa dengan melantik individu yang memperoleh undian sedikit untuk memegang jawatan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata tindakan itu, yang dilihat sebagai cuba menafikan hak individu yang menang dalam pemilihan jawatankuasa kariah masjid, merupakan tindakan tidak berhemah dan tidak adil.
"Umno Pulau Pinang memang memandang serius hal ini, menafikan hak orang yang menang, orang yang dapat undian sedikit diberi jawatan manakala yang menang tidak diberikan jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya kini mengumpulkan maklumat berhubung perkara itu dan meminta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyiasat aduan berkenaan.
"Di seluruh Pulau Pinang terdapat 207 masjid, dan daripada aduan yang diterima, terdapat tiga hingga empat masjid dalam sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri yang memanipulasi keputusan pemilihan jawatankuasa kariah itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata badan perhubungan itu kini memperhalusi proses pemilihan parti di peringkat cawangan dan bahagian bagi memastikan ia berlangsung lancar.
"Terdapat hampir 6,000 perwakilan yang akan membuat pemilihan di peringkat pucuk pimpinan parti tertinggi kali ini, jadi ia memerlukan penelitian yang lebih rapi agar mekanisme baru itu lebih teratur," katanya.
Beliau juga berkata Umno Pulau Pinang akan menjadi pembangkang yang konstruktif dalam memastikan tugas menjaga kebajikan rakyat di negeri ini dapat dilaksana dengan sempurna.
"Kami menerima hakikat bahawa majoriti rakyat negeri ini telah memberi mandat kepada pihak pembangkang dan kami tetap akan melaksanakan tanggungjawab kami sebagai wakil rakyat demi kesejahteraan hidup di masa depan," katanya. - Bernama
Post a Comment