Pakatan Rakyat tidak menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata penganalisis politik, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad.
Sulastry berkata walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat menolak keputusan itu, hakikatnya adalah sebaliknya.
Ini kerana negeri taklukkannya Pulau Pinang dan Kelantan antara yang terawal menerima watikah pelantikan untuk membentuk kerajaan negeri sebaik menang pada PRU, Ahad lalu.
Semalam, Lim Guan Eng dan Datuk Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Kelantan.
“Sekiranya mereka tidak mahu menerima bahawa keputusan PRU kali ini mandat diberikan kepada BN di bawah pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib, saya lihat perkara ini tidak berlaku..kerana mereka sudah memberitahu wartawan bahawa mereka akan mengumumkan siapa akan jadi Ketua Menteri, siapa akan mengangkat sumpah, siapa yang akan membentuk kerajaan di peringkat negeri dan sebagainya.
“Sekiranya keputusan itu sudah dibuat, ternyata mereka menerima keputusan yang sudah diumumkan SPR. Jadi tidak timbul isu bahawa undi popular itu mereka yang punya dan mereka menolak keputusan,” katanya kepada Antarapos.
Sulastri dalam pada itu menjelaskan perihal undi popular yang semakin hangat dipersoal bukan sahaja dikalangan penyokong bahkan juga pemimpin pembangkang.
Rata-rata mereka mempertikaikan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan walhal undi popular adalah milik Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat memperolehi 54.72 peratus undi popular berbanding BN yang hanya mencatat 44.49 undi sahaja.
Undi popular adalah jumlah keseluruhan undi bagi semua kerusi yang dimenangi sesebuah parti.
Sulastri berkata di Malaysia sistem yang diamalkan adalah parti yang memenangi banyak bilangan kerusi akan membentuk kerajaan, bukannya undi popular.
“Undi popular dekat Malaysia ini kita tak amalkan sama macam negara luar. Kebanyakan negara barat itu boleh dikatakan demokrasi mereka lebih menekankan kepada undi popular bukan sahaja kepada parti malah pada calon-calon yang bertanding.
“Di negara kita, kita menerima apa sahaja keputusan SPR keluarkan dan pertandingan yang dibuat itu adalah berdasarkan bilangan kerusi yang dipertandingkan mengikut parti-parti politik dalam PRU13,” jelas beliau lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan BN memperolehi 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang hanya memenangi 89 kerusi.
Post a Comment