Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah ditempelak oleh orang kuatnya sendiri apabila menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat dalam penipuan daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Ketika Anwar membuat tuduhan terhadap SPR itu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard pula sebaliknya menuduh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah perancang penipuan pada pemilihan parti itu 31 Oktober 2010.
Dalam rakaman video yang tersebar menerusi YouTube itu, Chegu Bard yang juga calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Pulau Pinang mendakwa, Anwar adalah sebagai seorang penipu.
"Isu pemilihan kena tipu teruk... lepas tu nak gula-gulakan I... dia nak gula-gulakan I isu pemilihan, penipuan la, apa semua baru-baru ini oleh Anwar,'' katanya dalam rakaman berdurasi 43 saat dengan tajuk "Chegu Bard Kantoikan Anwar" itu.
Chegu Bard yang bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda PKR pada pemilihan itu turut mendakwa Anwar cuba menyogok beliau dengan wang ringgit dan jawatan bagi menutup rahsia tersebut.
"Dia datang nak offer I gaji... nak lantik I jadi Timbalan Setiausaha Agung apa semua...I'm very sorry, I'm very sorry... this is not about jawatan... but i hope its about the truth.. dan you bercakap soal demokrasi,'' tegas Chegu Bard dalam rakaman tersebut.
Baru-baru ini Anwar mempertahankan Chegu Bard untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Acheh tersebut menyebabkan Pas yang pada awalnya mempertaruhkan Mohd. Yusni Mat Piah di kerusi sama, terpaksa menarik diri.
Bagaimanapun tindakan pucuk pimpinan Pas yang menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi oleh PKR menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi dan jentera Pas di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE
Post a Comment