Headlines News :
Home » » Calon BN belum selesai , kena tunggu beberapa hari lagi #PRU13

Calon BN belum selesai , kena tunggu beberapa hari lagi #PRU13


Ramalan hangat sejak Selasa mengatakan nama-nama calon Barisan Nasional untuk pilihanraya umum ke 13 akan diumumkan hari ini (Rabu) nyata meleset.Malah sewaktu berlangsung pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan jentera BN seluruh negara dalam Dewan Merdeka PWTC tidak kedengaran adanya senarai calon akan keluar.
Nampaknya kalau nak tahu siapa calon BN tanding sana..siapa tanding sini kena tunggu beberapa hari ini.
"...belum selesai. Akan diumumkan beberapa hari lagi," kata Najib mematikan terus spekulasi itu dalam sidang akhbarnya selepas pertemuan berkenaan.
Dalam konteks ini Perdana Menteri meminta semua pihak berkenaan bahawa matlamat utama BN pada pilihanraya ini adalah untuk tubuh kerajaan.
Atas sebab itu beliau tidak mahu pemilihan calon jadi satu isu besar.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata proses pemilihan dan pembahagian kerusi untuk PRU-13 akan mengambil kira keputusan pilihan raya umum 2008 dan keadaan demografi semasa di setiap kawasan bagi menjamin kemenangan parti.
"Pada asasnya, kita gunakan pencontoh 2008 dengan sedikit penyesuaian mengikut keputusan pilihan raya umum 2008...bagaimana BN hendak kukuhkan peluang untuk menang," katanya.
Selain itu, Najib berkata calon yang dipilih itu dapat membentuk kerajaan yang kuat di peringkat nasional dan negeri.
Najib, yang juga Presiden Umno, berkata pemilihan calon BN turut bergantung kepada penerimaan rakyat, kemampuan dan rekod pencapaian calon selain mengambil kira pertimbangan yang adil antara parti komponen BN.
"Kita ada mainstream (parti), (sayap) Wanita, Pemuda dan Puteri...masing-masing pun ada kehendak. Kita terpaksa mengambil kira pertimbangan keseluruhan supaya keputusan bersifat seadil mungkin," katanya.
Ditanya mengenai kriteria calon boleh menang BN, Najib berkata peribadi, kebolehan, ketokohan dan pengalaman individu menjadi asas dalam pemilihan calon parti itu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Mengenai perjumpaan bersama kira-kira 2,000 anggota jentera BN hari ini, perdana menteri berkata ia bertujuan menerangkan proses terakhir persediaan parti itu bagi menghadapi PRU-13.
"Saya telah mengambil kesempatan menerangkan beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam penentuan kerusi dan calon supaya mereka faham bahawa ia adalah proses yang kompleks dan rumit.
"Tak mungkin parti dapat memenuhi kehendak semua pihak atau memberi kepuasan kepada semua individu. Mustahil berlaku," jelasnya.
Justeru, beliau mahu anggota BN memahami hakikat sebenar bahawa objektif pilihan raya kali ini bukan semata-mata terpilih menjadi calon, sebaliknya membentuk kerajaan yang kuat di peringkat nasional dan negeri.
"Jika kita faham kenapa pilihan raya diadakan, kita takkan benarkan perasaan dan pertimbangan lain menggantikan pertimbangan untuk parti," tegas Najib.
Mengenai sikap merajuk dalam kalangan anggota parti yang tidak dipilih sebagai calon, Najib berkata BN akan cuba meminimumkan masalah itu.
"Sebab itu, dalam ucapan, saya kata seelok-eloknya kalau kecewa pun dalam tempoh 24 jam sahaja. Lepas itu kena turun padang," katanya.-10/4/2013
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger