UTUSAN MALAYSIA: Apa sebenarnya berlaku dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP?
DAVID DAS: Seramai 68 individu telah disenaraikan sebagai calon pada pemilihan CEC itu, tetapi empat daripada mereka menarik diri. Daripada 64 individu yang terpilih, 19 mewakili kaum India termasuklah Gobind Singh Deo dan Karpal Singh, sementara lapan mewakili orang Melayu, selebihnya adalah kaum Cina.
Selepas keputusan diumumkan, hanya seorang yang benar-benar mempunyai kelayakan untuk berbahasa Tamil menang dalam pemilihan itu dan individu itu ialah M. Kulasegaran (Kula), mewakili DAP Ipoh Barat.
Walaupun Gobind dan Karpal menang, kita tidak nafikan beliau mewakili kaum India, tetapi malangnya mereka ini tidak boleh berbahasa Tamil dengan baik. Bila ada isu masyarakat India dibawa kepada mereka, sukar untuk mereka memahaminya sehingga memerlukan penterjemah dalam bahasa Tamil.
Jadi, saya tegaskan, hanya seorang sahaja dalam CEC mewakili masyarakat India iaitu M. Kula. Bayangkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy tewas. Masa itu tiada siapa yang bersuara dan semuanya bercerita di belakang.
Saya menunggu kepimpinan tinggi untuk mengadakan pemilihan semula selepas mengakui berlaku kesilapan dalam perisian komputer, di mana calon tewas, Zairil Khir Johari secara tiba-tiba diisytiharkan calon menang.
Jika Karpal kata ia kesilapan yang tidak disengajakan dan semua pihak perlu menerimanya, kenapa pula Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong meletak jawatan?
Apa yang berlaku selepas itu?
Bila keputusan pemilihan CEC sudah diumumkan dan dalam tempoh 16 hingga 25 Disember, ketika itu sudah hampir menyambut Krismas. Sememangnya tiada orang Melayu dalam CEC sebelum Zairil Khir dimasukkan dalam senarai menang dan DAP berhadapan tekanan dan desakan daripada luar.
Jadi untuk mengelakkan terus menerima tekanan, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan isu kalimah Allah.
Kalau dia benar-benar jujur dan menghormati agama orang lain, dia sepatutnya mengucapkan Selamat Hari Krismas atau memandulah dengan berhemah, bukan membangkitkan isu kalimah Allah.
Guan Eng ingat dengan isu kalimah Allah ini, beliau akan mendapat sokongan daripada pemimpin lain dalam pakatan pembangkang.
Perkara ini pernah dibangkitkan dan dia (Guan Eng) tahu kesannya. Dulu Pas menyokonglah, tetapi hari ini tidak. Bila Guan Eng merasa tertekan pula, dia alihkan semula perhatian orang ramai kepada CEC dengan memasukkan Zairil Khir dalam CEC.
Jadi dalam hal ini, kepimpinan DAP kenalah akui kalau ada kesilapan, silalah betulkan. Kebajikan seharusnya bermula dari rumah sendiri, kalau kita gagal uruskan rumah sendiri, bagaimana kita hendak uruskan kebajikan rakyat.
Benarkah, masyarakat India dipinggirkan dalam kepimpinan DAP yang disebutkan mengamalkan demokrasi, sebaliknya didakwa akar umbi sebagai autokratik?
Apa itu autokratik dalam DAP. Apa yang saya sebut dicantas. Apabila keputusan CEC diumumkan, kita suarakan rasa tidak puas hati, tetapi mereka (kepimpinan) tidak mahu mendengarnya dan mereka kata, apa yang diputuskan itu harus dipatuhi.
Kata dalam slogan pembangkang ialah UBAH. Untuk ubah, kitalah kena amalkan dulu, barulah boleh disampaikan kepada rakyat. Macam mana rakyat mahu contohi kita kalau sendiri pun tidak mahu berubah. Kata ada ketelusan, tetapi tidak diamalkan.
Dalam DAP, masyarakat India adalah golongan minoriti. Saya lihat dalam masyarakat India terutama dalam DAP, juga bermasalah. Ini soal pemimpin, pemimpin sendiri hendak 'bunuh' pemimpin lain.
Dalam DAP, mereka amalkan sikap pilih kasih. Contohnya, dalam pemilihan CEC baru-baru ini, ada pemimpin pertengahan yang dari awal- awal lagi telah menentukan senarai pemimpin yang harus dipilih oleh perwakilan.
Ini sudah dirancang kerana senarai calon yang hendak dipilih sudah siap ditaip dengan kemas, bukan tulisan tangan. Ini menunjukkan mereka sudah merancang lebih awal siapa yang layak untuk dipilih.
Pemimpin pertengahan ini tidak memberi peluang kepada perwakilan untuk berfikir sebaliknya mereka pula yang memikirkan untuk perwakilan. Perkara ini bukan hanya berlaku di peringkat nasional sebaliknya membabitkan pemilihan peringkat negeri.
Adakah amalan berkenaan mahu memberikan kedudukan kepada seseorang individu dalam parti DAP?
Saya ingin tegaskan di sini, aspek Perlembagaan DAP juga diubah mengikut keselesaan dan kesesuaian mereka. Contohnya di Negeri Sembilan, ketika berlangsung kongres DAP sekitar beberapa tahun lalu, saya telah bangkitkan supaya pemilihan dibuat setiap 24 bulan sekali dan mengikut perlembagaan, ada kelonggaran untuk dilanjutkan sehingga setahun lagi menjadikan ia selama 36 bulan.
Tempoh 36 bulan itu sudah berakhir dan apabila dibangkitkan kenapa tiada pemilihan sebelum CEC, kami diberitahu bahawa perlembagaan sudah diubah daripada 24 bulan ia dilanjutkan kepada 36 bulan dan ditambah lagi 12 bulan, menjadikan ia 48 bulan.
Apa yang mendukacitakan perubahan yang dibuat peringkat tertinggi mengenai perlembagaan itu tidak dimaklumkan kepada akar umbi termasuklah pemimpin peringkat cawangan.
Ini membuktikan mereka mempunyai agenda tersendiri dalam sistem pentadbiran parti. Ini membolehkan Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook terus berkuasa sehingga ke hari ini bagi menjalankan agenda parti termasuk cuba meraih sokongan daripada istana. Bila ada pemilihan, perwakilan ditatang bagaikan minyak yang penuh, tetapi selepas pemilihan, cawangan diabaikan.
Apa pula motif yang dibuat oleh DAP apabila melibatkan pihak istana dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.
Bekas Naib Pengerusi, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim telah pun membuat pendedahan. Jika kita bercakap soal pakatan pembangkang di Negeri Sembilan, kita memang ada calon Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. Kenapa pula tiba-tiba Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook menawarkan kerusi kepada anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini menunjukkan DAP ada agenda tersembunyi. Kita lihat dalam perlembagaan negeri ini, di mana hanya orang Melayu layak untuk jawatan Menteri Besar.
Pada pandangan saya, DAP mahu menguasai negeri ini, maka langkah itu yang diambil mempelawa putera raja itu walaupun ada pemimpin PKR dan Pas layak untuk jawatan Menteri Besar.
Mengenai calon lain orang Melayu bertanding atas tiket DAP, itu saya tidak tahu. Yang saya tahu setakat ini, DAP akan terus mengekalkan kerusi yang mereka pernah tanding dalam pilihan raya umum lalu. Mungkin calonnya sahaja akan berubah.
Saya juga lihat ada monopoli dalam senarai calon. DAP kini sudah ada senarainya. Mereka bawa orang yang boleh mendengar cakap dan tidak membantah. Apa yang menyedihkan ada ahli yang memperjuangkan parti ini sejak lama dahulu, tidak diberi peluang sebagai calon.
Sebagai ahli DAP, apakah Guan Eng wajar memohon maaf kepada orang Melayu dan Islam berkaitan isu kalimah Allah.
Saya adalah penganut agama Kristian sejak dilahirkan. Saya tidak bermain dalam isu agama kerana tahu sensitivitinya. Bagi saya, memohon maaf itu hanya kepada mereka yang berani sahaja dan benar-benar ikhlas. Sekiranya memohon maaf pun, kita tidak akan kehilangan apa-apa. Apa salahnya Guan Eng memohon maaf.
Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama. Janganlah dibandingkan dengan negara luar kerana kita duduk dan tinggal di Malaysia. Kita kenalah sesuaikan dengan persekitaran dan toleransi dengan semua kaum. Janganlah diungkitkan isu kalimah Allah ini ia benar-benar menyinggung perasaan orang Melayu dan Islam. Tidak salah kalau Guan Eng memohon maaf.
Sebagai ahli DAP juga, apakah wajar Guan Eng memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan isu kalimah Allah ini?
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Selangor dan sultan di beberapa negeri adalah tonggak agama. Malah Sultan Selangor pernah menegur bahawa isu kalimah Allah tidak seharusnya diperbesarkan dan hanya diguna pakai untuk orang Islam.
Guan Eng juga perlu tahu Rukun Negara di mana salah satunya ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Raja atau sultan adalah ketua agama. Apa juga titah yang dikeluarkan oleh sultan atau raja, setiap rakyat harus mematuhinya dan bukan mempermainkannya.
Sultan Selangor, bertitah jangan bangkitkan lagi perkara ini, tetapi kamu mempertikaikan perkara itu. Kita duduk dalam sebuah keluarga dan jangan cakap soal parti sekarang.
Kamu boleh menyokong Barisan Nasional (BN), Pas mahupun PKR. Kalimah Allah ini terlalu sensitif, jangan sentuh. Hentikan. Kamu tahu pilihan raya sudah hampir kenapa hendak bangkitkan isu ini?
Pada pandangan saudara, sejauh mana keupayaan DAP di negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.
Seperti kata Tunku Abdul Aziz, DAP akan lakukan apa sahaja untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ini. DAP boleh menang banyak kerusi dan mereka juga boleh tewas banyak kerusi di Negeri Sembilan ini. Semuanya bergantung prestasi perkhidmatan yang diberikan.
Saya mengkritik kepimpinan DAP kerana ada setengah pihak dilihat terlalu berpengaruh mengawal parti ini.
Kalau mereka jujur, kenapa sehingga ke hari ini saya dan rakan-rakan yang telah membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta kritikan terhadap parti tidak dihubungi, dipanggil bertemu atau dihantar surat tunjuk sebab.
Sebaliknya, kami dimaklumkan bahawa ahli parti serta kepimpinan lain dilarang menghubungi kami atas arahan pemimpin berpengaruh.
Ketika ini, mereka melakukan aktiviti penjelasan di beberapa cawangan, kononnya apa yang kami lakukan ini tidak betul dan tindakan mereka adalah betul.
Saya telah memberikan penjelasan kepada ROS selepas dipanggil ke pejabatnya Selasa lalu berhubung penipuan pemilihan CEC lalu.
Post a Comment