Headlines News :
Home » » Ahli DAP kaum India terus desak pemilihan semula CEC

Ahli DAP kaum India terus desak pemilihan semula CEC

GEORGETOWN - DAP terus menerima tekanan daripada ahli-ahlinya berhubung keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang disifatkan mengandungi unsur-unsur manipulasi.

Semalam, kira-kira 45 ahli dan penyokong DAP berkumpul di hadapan pusat khidmat Adun Air Putih yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menuntut parti itu memberi penjelasan sebenar berkenaan kesilapan yang berlaku dalam pengiraan undi CEC itu.

Mereka juga menuntut agar parti itu melakukan pemilihan semula bagi membuktikan ketelusan DAP seperti yang dilaungkan sebelum ini.




Ahli DAP cawangan Sungai Bakap, S Sivasamy berkata, sebagai ahli beliau kecewa dengan sikap kepemimpinan parti itu kerana sehingga kini gagal memberikan penjelasan mengenai kesilapan yang berlaku.

Menurutnya, mustahil kesilapan pengiraan undi boleh berlaku kerana pengundian dibuat bukan untuk pemilihan ketua darjah di sekolah tetapi pemilihan kepimpinan parti di peringkat tertinggi.

“DAP sering melaungkan yang mereka ini bersih namun dalam pemilihan ini di mana bersihnya? Semuanya penipu.

“Kalau dia (Guan Eng) takut untuk bertemu dengan ahli-ahli bagi menjelaskan perkara sebenar, dia boleh mengeluarkan kenyataan kepada media dan menjawab persoalan kami. DAP harus membuat pemilihan semula untuk membuktikan DAP bersih," katanya kepada media ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, dalam himpunan yang diadakan semalam kira-kira jam 2 petang, kumpulan berkenaan turut membawa beberapa kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan DAP pilih kasih’, 'Hentikan Penipuan' dan 'Kami Mahukan Pemilihan Semula’ 

Mereka turut melaungkan ‘kami mahukan keadilan’ sepanjang berarak ke pusat khidmat Guan Eng  di Jalan Air Itam.

Dalam pada itu, Sivasamy yang mendakwa telah bersama parti itu sejak September 1987 berkata, beliau akan menulis sepucuk surat kepada parti dalam masa terdekat bagi menuntut pemilihan semula dilakukan.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila mendapati pusat khidmat Guan Eng ditutup dan menyukarkan rakyat bertemu dengan pemimpin pilihan mereka.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger