Headlines News :
Home » » Kerajaan Pusat bina 300 rumah untuk nelayan Batu Kawan

Kerajaan Pusat bina 300 rumah untuk nelayan Batu Kawan




BUTTERWORTH - Kira-kira 300 nelayan miskin di negeri ini bakal menikmati kehidupan yang selesa apabila Kerajaan Pusat akan melaksanakan projek perumahan nelayan di Kuala Juru dekat Batu Kawan tahun depan.

Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Ismail Ladin berkata, perkampungan moden itu akan dibina di kawasan seluas 10.8 hektar melibatkan peruntukan awal sebanyak RM13 juta dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

"Setiap rumah yang dibina itu berharga RM40,000 dengan tiga bilik diberikan kepada nelayan miskin yang tidak mempunyai rumah dan tanah.

"LKIM dijangka memohon peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta lagi bagi kerja-kerja tebus guna tanah di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan di pejabat Persatuan Nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam dekat sini hari ini.

Majlis penyampaian elaun kepada 38 orang nelayan itu disempurnakan oleh wakil Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Jumabi Mohamad.

Setiap seorang nelayan menerima elaun sebanyak RM200 sebulan.

Ismail berkata, pihaknya telah menerima 360 permohonan daripada nelayan yang mahu menduduki penempatan itu dan sebuah jawatankuasa akan membuat penilaian terhadap permohonan tersebut.

Menurut beliau, perkampungan yang pertama seumpama itu akan membantu nelayan memiliki rumah sendiri di samping membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Pulau Pinang mempunyai sebanyak 4,567 nelayan berdaftar dengan LKIM.

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada nelayan di negeri ini sejak 2008 dan membelanjakan sejumlah RM10 juta setahun untuk elaun sara hidup mereka.

"Jumlah bantuan yang diberikan itu tidak termasuk bantuan subsidi diesel, bantuan bot dan bantuan baik pulih rumah," ujarnya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger