Pemuda UMNO melihat Permatang Pauh bukan lagi kubu kuat bagi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dilambung sebagai bakal Perdana Menteri oleh parti pembangkang. Ketuanya Mohd Zaidi Mohd Said berkata perkara itu dapat dilihat menerusi program dan ceramah-ceramah yang dihadiri oleh Anwar bersama ‘gengnya’ di kawasan berkenaan yang tidak lagi seperti dahulu.
Menurut beliau sebelum ini tidak dinafikan ceramah Anwar mendapat sambutan namun setelah segala dakwaan dan pelbagai isu lain yang melingkari Ketua Pembangkang berkenaan, sokongan penduduk setempat makin merosot.
“Ini tidak lagi termasuk mereka yang kecewa dengan beliau…Maklumlah sebagai bakal Perdana Menteri tentunya sibuk di luar kawasan dengan perantauan seluruh negara. Keadaan itu menyebabkan tumpuan terhadap Permatang Pauh sedikit terganGgu.
“Inilah yang antaranya rata-rata dibangkitkan oleh penduduk setempat yang melihat Anwar seolah-olah lupa kepada kawasannya sendiri gara-gara dibuai mimpi indah untuk donobatkan sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Zaidi seterusnya menambah senario itu bukanlah satu kelebihan kepada mereka untuk memerhatikan daripada jauh, malah memberi semangat kepada pergerakan itu untuk membantu kemenangan BN kelak. Jelas beliau lagi pelbagai program diatur khususnya mendekati golongan muda dengan pelbagai program yang menjurus kepada kehendak dan naluri golongan tersebut.
“Pemuda akan teruskan gerak kerja kita seperti biasa dalam usaha membantu kemenangan calon BN nanti kerana itu adalah matlamat bersama. Pemuda sama sekali tidak akan lalai dan alpa sebaliknya bersama bermuafakat dalam melaksanakan gerak kerja yang terbaik untuk parti.
“Inilah azam dan komitmen bersama kita di Permatang Pauh…Insyaallah jika muafakat dan momentum ini bertersuan, hasrat penduduk Permatang pauh untuk membawa pembaharuan akan dapat direalisasikan nanti,“ katanya. -MediaUMNO
Post a Comment