Headlines News :
Home » » GUAN ENG DIBIDAS PERTIKAI LAPORAN RASUAH OLEH GCB

GUAN ENG DIBIDAS PERTIKAI LAPORAN RASUAH OLEH GCB




Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim hari ini membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mempertikaikan laporan Barometer Rasuah Global (GCB), sebaliknya menggunakan laporan Ernst and Young (E&Y) sebagai rujukan untuk penanda aras gejala rasuah negara ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, laporan dirujuk Guan Eng itu boleh dipersoal kerana kajiannya dilakukan hanya melibatkan 103 eksekutif dan jumlah tersebut terlalu kecil untuk mewakili 28 juta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Pertama nak beritahu, responden (E&Y) cuma 103 orang dan yang beri maklum balas ini pula merupakan pegawai-pegawai syarikat, tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia, contohnya orang kampung, pelajar sekolah, profesional dan sebagainya.

“Data yang diambil itu adalah sesuatu yang tidak betul. Ini berbeza dengan laporan GCB yang dilaksanakan Transparency International 2013 dan dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) Julai lepas, melibatkan kira-kira 1,000 responden.

“Satu lagi, rujukan yang kita ambil itu bukan kerajaan yang buat. Bahkan, bukan kerajaan yang kata kes rasuah ini meningkat atau menurun. Ini laporan GCB," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Korban Perdana Parlimen Muar di Kampung Sri Menanti di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang mempertikaikan kenyataan Razali di Parlimen baru-baru ini bahawa Malaysia berada pada kedudukan sangat baik apabila hanya lima peratus rakyat Malaysia berpengalaman secara langsung atau tidak langsung dalam memberi dan menerima rasuah.

Razali berkata, Setiausaha Agung DAP itu seperti mempunyai agenda dengan merujuk statistik E&Y, selain menyelarnya kerana menyembunyikan fakta yang dibuat dalam laporan sama tentang kempen dilakukan kerajaan Malaysia dalam memerangi rasuah.


Jelasnya, melalui laporan yang sama dilakukan, E&Y ada menyatakan berhubung hasil kajian berkenaan iaitu membabitkan usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah yang diakui rakyat.

“Kajian itu mendapati 56 peratus responden yang terbabit bersetuju bahawa usaha kerajaan dalam menangani gejala berkenaan memberi kesan besar terhadap tahap rasuah di negara ini.

“Ini menjadikan Malaysia berada di kedudukan teratas daripada lapan negara iaitu Australia, China, Indonesia, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Vietnam. Namun, fakta menarik ini tidak dihebahkan kepada umum," katanya.

Beliau percaya, sebab Guan Eng tidak mahu mendedahkan fakta tersebut kerana hendak usaha kerajaan dalam memerangi rasuah tidak disokong, selain mahukan rakyat terus membenci, sangsi dan marah dengan pemerintah.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger