Home »
UMNO Penang
» Kerajaan Pusat tubuh MPBPP untuk bantu ekonomi Melayu PP
Kerajaan pusat menerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) berjaya meningkatkan ekonomi masyarakat Bumiputera di negeri ini, sekaligus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, semua program dan strategik inisiatif yang dilaksanakan majlis itu juga berjaya memastikan Bumiputera di negeri ini tidak dipinggirkan, selain mendapat bahagian yang adil dan saksama.
"Kita lihat pada tahun 1970, kemiskinan di Malaysia adalah 49.2 peratus iaitu hampir separuh dari keluarga di Malaysia pada waktu itu hidup di bawah garis kemiskinan.
"Hari ini, kadar kemiskinan adalah 3.8 peratus di seluruh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sayang-Sayang Pulau Pinang siri kedua di Radio Televisyen Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata bagi menjayakan program pembangunan bumiputera Pulau Pinang, sebanyak 54 strategik inisiatif dirangka sepanjang 2011 dan 2012 dengan peruntukan berjumlah RM165 juta.
Beliau berkata tahun lepas, sebanyak 31 strategik inisiatif berjaya dilaksanakan.
"Sehingga bulan April 2012, sebanyak 38 strategik inisiatif telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang untuk dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM117.7 juta," katanya.
Nor Mohamed, yang juga Pengerusi MPBPP, berkata antara program strategik inisiatif yang dirancang ialah Program Khidmat Belia, Skim Pembangunan Usahawan Pertengahan serta Program Transformasi Remaja Cemerlang.
Beliau berkata, bagi memastikan masyarakat berkenaan tahu mengenai program yang dilaksanakan, MPBPP menjalin kerjasama dengan Mutiara FM dan Berita Harian menerusi Program Sayang-Sayang Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang Muhammad Farid Saad berkata sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi membangunkan usahawan kecil ke peringkat tertinggi.
"Kita juga akan membangunkan sebuah pusat niaga untuk usahawan Bumiputera di Kubang Menerong, Seberang Perai berjumlah RM10.12 juta. Inilah bentuk-bentuk projek yang kita buat untuk meningkatkan pendapatan usahawan di negeri Pulau Pinang," katanya. - Bernama
Post a Comment