Headlines News :
Home » » Isu Kristian: Ada asas kebenaran dalam laporan Utusan

Isu Kristian: Ada asas kebenaran dalam laporan Utusan




KUALA LUMPUR 13 Mei - Laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai usaha pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan Sabtu lalu seperti dipetik daripada dua blog adalah berasas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, asas pada pemberitaan tersebut mungkin boleh dijelaskan melalui sebuah laporan polis hari ini yang dibuat oleh seorang individu yang turut berada dalam majlis dimaksudkan di Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan telah tampil menjelaskan mengenai asas laporan muka depan akhbar berkenaan sewaktu memberi keterangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, semalam.

"Jadi inilah yang saya tekankan hari itu, jangan kita beremosi tentang perkara berhubung kait agama, kaum, biar pihak berkuasa (iaitu) polis khususnya untuk jalankan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) Chow Kit di sini hari ini.

Laporan muka depan akhbar ini Sabtu lalu yang bertajuk Kristian Agama Rasmi? seperti dipetik daripada pendedahan dua blog tempatan iaitu Bigdog dan Marahku bagaimanapun turut menyiarkan penafian Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dari DAP yang turut hadir pada majlis itu.

Bagaimanapun di Pulau Pinang hari ini, seorang ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman, 42, yang hadir pada majlis kesyukuran tertutup paderi-paderi berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menceritakan insiden sebenar.

Hishammuddin menambah, kementerian tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap pelbagai pihak termasuk Utusan mengenai hal itu kerana perkara berkenaan masih disiasat polis.

"Jangan tumpukan kepada Utusan, siasatan ini bukan untuk mencari salah siapa, ia lebih kepada mencari kebenaran sama ada perkara itu (ikrar menukar Kristian sebagai agama Persekutuan) benar berlaku," tegasnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger