Headlines News :
Home » » Takziah buat keluarga Tun Dr Lim Chong Eu.

Takziah buat keluarga Tun Dr Lim Chong Eu.

Malaysia kehilangan seorang tokoh politik tersohor, Tun Dr Lim Chong Eu, dan pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri industri dalam bidang elektronik di peringkat antarabangsa.

Ketua menteri kedua itu menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya di Tanjong Bungah di Georgetown pada jam 9.07 malam semalam setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selama hampir sebulan akibat serangan angin ahmar.

lim chong euDilahirkan pada 28 Mei 1919, Dr Lim mendapat pendidikan awal di Penang Free School dan menerima Queen's Scholar pada 1937 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang perubatan dan surgeri di Edinburgh University, Scotland.

Setelah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dengan Malayan Auxiliary Air Force, beliau kemudiannya memulakan perkhidmatan perubatan swasta pada 1955.

Dr Lim dilantik sebagai Ahli Lembaga Tempatan Pulau Pinang 1951 dan pada tahun 1955, beliau dilantik ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan.

Penglibatan mendiang dalam dunia politik penuh warna-warni apabila pernah menjadi Presiden MCA pada Mac 1958 tetapi meninggalkan parti itu pada Julai 1959, sebelum menubuhkan Parti Demokratik Bersatu (UDP) pada tahun yang sama dan menjadi Setiusaha Agung dan Presiden parti itu pada 1966.

Namun, ketiadaan persefahaman menyebabkan mendiang mengasaskan parti Gerakan Rakyat Malaysia pada 1968 dan menjadi Presiden parti itu setahun kemudian.

penang bridgeDr Lim dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun yang sama sehingga 1990.

Antara jasa dan sumbangan besar Dr Lim adalah merealisasikan pembinaan dua mercu tanda Pulau Pinang iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Dr Lim juga bertanggungjawab menerajui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan mendahului negeri-negeri lain di negara ini dengan membawa pelabur asing dalam industri elektronik dan elektrik.

Kawasan Zon Industri Bebas Bayan Lepas adalah ilhamnya dan beliau juga bertanggungjawab memajukan sebuah kawasan paya lumpur di Seberang Perai menjadi
bandar satelit termaju di negeri ini yang sekarang dikenali sebagai Seberang Jaya.

Semasa negara menghadapi krisis pengangguran pada awal tahun 1970-an, Dr Lim memperkenalkan skim bekerja sambil belajar yang dikenali sebagai skim "Pilot" bagi mengatasi masalah keciciran pelajar.

gerakan agm 061007 abdullah and lim chong euDr Lim bersara dari politik setelah tewas pada pilihan raya umum 1990 setelah menjadi ketua menteri selama 21 tahun. Beliau dikalahkan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, bapa kepada ketua menteri Pulau Pinang ketika ini, Lim Guan Eng.


Mendiang dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) pada November 1990 dan dikurniakan darjah Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1991.

Antara darjah tertinggi antarabangsa yang diterima Dr Lim adalah pingat "The Order of The Rising Sun, Gold and Silver Star" daripada Maharaja Akihito dari Jepun pada Disember 1989.

Dr Lim meninggalkan isteri Toh Puan Goh Sing Yeng, 85, dan empat orang anak.

- Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger