GEORGETOWN 29 Nov. - Beberapa anggota dewan undangan negeri termasuk exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membidas tindakan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun yang melabel pegawai rendah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai kucing kurap.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kasim (PKR-Batu Maung) berkata ayat seumpama itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang anggota parlimen yang mempunyai banyak saluran untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap MPPP.
"Sebagai anggota Parlimen, beliau mempunyai pelbagai saluran untuk berhubung dengan kerajaan negeri, Ketua Menteri mahupun Yang Dipertua MPPP. Kalau orang lain yang tidak ada access boleh la dia frustrated (kecewa).
"Saya pun tidak tahu kenapa beliau tidak berpuas hati dengan MPPP, perkhidmatan MPPP. Ini bukan kali pertama beliau melahirkan ketidakpuasan terhadap MPPP," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang memberi label kucing kurap kepada beberapa pegawai MPPP Sabtu lalu, apabila mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong dalam mesyuarat yang dianjurnya selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh (DAP-Sungai Puyu) pula berkata kerajaan negeri mengamalkan dasar polisi terbuka dan bersedia menerima kritikan dan cadangan melalui saluran yang disediakan.
"Kita mempunyai saluran untuk membuat aduan dan kritikan, beliau seharusnya menggunakan saluran yang betul jika mempunyai masalah dengan mana-mana pihak," katanya.
Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) pula menggesa rakyat di negeri itu untuk menilai semula sama ada pemimpin seperti Ooi perlu dipilih pada masa depan bagi memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Inikah pemimpin yang perlu mereka sokong? Adakah dengan cara ini boleh membangunkan negeri dan Malaysia... Ini bukan caranya. Beliau hanya pandai menuding jari terhadap kesalahan orang sahaja," katanya. - BERNAMA
Post a Comment