KUALA LUMPUR, – Sebanyak lapan daripada 68 permohonan untuk peruntukan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), iaitu bantuan penyelenggaraan bangunan berstrata milik swasta, yang diterima daripada penduduk Pulau Pinang, diluluskan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tahun ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata semua lapan projek itu diperuntukan RM4.5 juta dengan empat darinya telah dilaksanakan.
Sementara di Selangor, sebanyak lapan permohonan diluluskan kementerian itu, namun kesemuanya tidak dapat dilaksanakan kerana pemaju projek perumahan berkenaan tidak membuat sumbangan sebanyak 30 peratus atau 10 peratus kadar geran sepadan dalam tempoh yang ditetapkan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini program TP1M telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan dan sejak 16 Julai lepas, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi tanggungjawab mengendalikan tabung berkenaan.
Abdul Rahman berkata demikian bagi menjawab dakwaan anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang dibangkitkan dalam perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat Rabu lepas, mendakwa Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir kerajaan negeri pakatan DAP-PKR-PAS, tidak menerima langsung peruntukan TP1M.
Abdul Rahman menjelaskan, untuk mendapat bantuan tabung berkenaan, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat antaranya Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC) atau Persatuan Penduduk (PP) perlu menyediakan geran sepadan sebanyak 30 peratus bagi bangunan kos sederhana rendah, manakala 10 peratus bagi bangunan kos rendah.
“Bangunan yang perlu diselenggerakan itu juga perlu melebihi 10 tahun dan berlaku kerosakan yang serius,” katanya.
Katanya, pelaksanaan TP1M ini menggunakan geran sepadan iaitu 30 peratus kos dibiayai oleh JMB/MC/PP manakala 70 peratus dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bagi bangunan kos sederhana rendah.
“Bagi bangunan kos rendah pula, 10 peratus kos dibiayai oleh JMB/MC/PP dan selebihnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Abdul Rahman juga berkata, sebagaimana yang ditetapkan dalam syarat utama, TP1M juga memerlukan pihak JMB/MC/PP menyediakan geran sepadan agar permohonan mereka diluluskan.
Post a Comment