ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dilihat seolah-olah tidak ikhlas memohon maaf terhadap kenyataannya yang menggelarkan kakitangan bawahan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai 'kucing kurap' dalam satu lawatan ke Pasar Jelutong, 16 November lalu.
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, ini kerana Jeff menunggu lebih dua minggu untuk membuat permohonan maaf itu, selain dibuat kerana desakan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Menurutnya, kalau Jeff benar-benar ikhlas, beliau tidak perlu didesak oleh sesiapa untuk memohon maaf tetapi segera meredakan kemarahan banyak pihak dengan menarik balik kenyataan itu daripada awal.
"Permohonan maaf itu seolah-olah ada muslihat tersendiri kerana dibuat atas desakan Karpal dan bukannya ikhlas kepada orang Melayu yang terhina dengan kenyataan itu.
"Jeff juga kena tarik balik desakannya yang mahu Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail meletak jawatan kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugas dengan baik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu membuat pengumuman maaf secara terbuka di hadapan kira-kira 689 perwakilan yang menghadiri Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013 di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak wakil rakyat DAP itu meminta maaf dan menarik balik perkataan 'kucing kurap' itu yang dibuat Jeff bagi merujuk kepada kegagalan pegawai MPPP membuktikan kepadanya terdapat peniaga haram di Pasar Awam Jelutong.
Tambah Rahmad, Jeff diminta lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati golongan bawahan serta orang Melayu.
"Jika beliau tak ambil iktibar daripada apa yang berlaku, tak mustahil gelaran 'Harimau Jelutong' yang diberikan kepadanya boleh diubah kepada 'Kucing Jelutong' selepas ini.
"Kerajaan DAP Pulau Pinang juga harus ambil iktibar atas apa yang berlaku dan tidak boleh benarkan wakil rakyat mereka membuat kenyataan sesuka hati sehingga mengguris perasaan orang lain," ujarnya.
Sementara itu bagi Setiausaha Sekretariat Himpunan Melayu Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali, Jeff tidak harus bersandar kepada seseorang sebelum membuat permohonan maaf itu.
Jelasnya, tindakan Jeff itu dilihat agak angkuh kerana permohonan maaf itu seolah-olah tidak ikhlas dan dibuat secara bersyarat.
"Jeff perlu minta maaf bukan sekadar dalam majlis DAP sahaja tetapi di hadapan semua kakitangan MPPP kerana isu ini melibatkan mereka.
"Kalau nak tunjuk keikhlasan, beliau harus bersemuka dengan individu yang dihina dengan gelaran itu dan minta maaf sendiri dengan mereka," katanya.
Post a Comment