Headlines News :
Home » » NASIHAT PRESIDEN PARTI KEPADA PEMIMPIN YANG MENANG & KALAH PEMILIHAN UMNO

NASIHAT PRESIDEN PARTI KEPADA PEMIMPIN YANG MENANG & KALAH PEMILIHAN UMNO



PEKAN - Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berpesan kepada mereka yang menang dalam pemilihan Umno supaya tidak terlalu ghairah dan angkuh, sebaliknya sedar akan tanggungjawab dan amanah besar yang digalas dalam perjuangan membela bangsa dan agama.
   
Sambil meminta mereka "menghulurkan tangan persahabatan" kepada yang kalah, Perdana Menteri berkata calon yang menang perlulah tawadduk, bahawa perjuangan Umno memerlukan barisan kepimpinan yang bersatu bagi menghadapi cabaran mendatang.
   
"Yang tak berjaya, ini bukan penamat perjuangan mereka, ini satu proses dalam perjuangan, perlu terus berjuang dan beri sumbangan kepada parti," katanya ketika ditemu bual RTM menerusi program Selamat Pagi Malaysia, sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pekan, di Dewan Konvensyen Pekan, di sini, hari ini.
   
Najib yang menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian itu berkata pemilihan kali ini adalah hasil proses transformasi yang dilakukan pada Perhimpunan Agung Umno 2009, dalam usaha ke arah menjadikan parti lebih telus dan demokratik.
   
Kira-kira 146,000 anggota akar umbi diberi hak menentukan pimpinan peringkat bahagian dan saf tertinggi kepimpinan parti itu berbanding sebelum ini hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis Tertinggi semasa perhimpunan agung Umno.

"Saya berharap pemilihan ini akan berlangsung dengan begitu lancar dan teratur dan tidak mendatangkan banyak masalah, dengan harapan apa yang kita lakukan pada 2009, kita membuat keputusan amat bersejarah, pinda perlembagaan Umno secara menyeluruh, letak asas keterbukaan Umno kepada  prinsip demokrasi, objektifnya, pemilihan kali ini memenuhi tujuan (pindaan) perlembagaan itu," katanya.
   
Najib berkata apa yang penting, anggota Umno perlu jalankan tanggungjawab mereka dengan memikirkan apa matlamat kesudahannya menerusi proses pindaan itu, seterusnya menjayakan proses transformasi dalam parti.
   
"Saya berharap para perwakilan yang menyeluruh (mewakili) suara akar umbi, dapat menunjukkan pendirian mereka terhadap barisan kepimpinan Umno yang memenuhi cita rasa akar umbi.
   
"Mereka harus melihat, dengan hati,  secara rasional dan objektif, (dan) kita dapat barisan kepimpinan lebih mantap lagi," katanya. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger