Headlines News :
Home » , » PAU 2011 ibarat medan himpunan bala tentera parti hadapi PRU 13

PAU 2011 ibarat medan himpunan bala tentera parti hadapi PRU 13




PULAU PINANG, Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 29 November ini bakal mencatatnya satu sejarah baru kerana perhimpunan kali ini membawa satu erti yang sangat besar kerana besar kemungkinan, inilah perhimpunan yang terakhir sebelum ‘perang besar’.

Menurut, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman perang besar yang bakal dilalui dalam masa terdekat ini adalah satu perjuangan yang paling hebat sejak tertubuhnya UMNO 65 tahun yang lalu.

“Perhimpunan kali ini adalah satu himpunan besar bala tentera kita sebelum menghadapi peperangan. Oleh itu, sangat penting dalam perhimpunan kali ini kita memberi mandat dan kepercayaan kepada Presiden Parti kerana kali ini ‘bala tentera’ kita berhimpun dari semua lapisan dan mereka yang benar-benar berjuang untuk parti.

“Kita harus tunjukkan kepada semua bahawa kita bukan lagi satu parti eksklusif tetapi satu bala tentera yang inklusif,” ujarnya dalam wawancara khas bersama UMNO-Online.

Menurut Zainal yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi, beliau amat berharap agar semua ahli yang turut bersama-sama dalam perhimpunan kali ini terus memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan siapakah yang dilabelkan sebagai ‘winable candidate’ yang bakal diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sekiranya kita hanya bercakap di mulut tetapi tidak menunjukkan sokongan maka ianya adalah satu pendustaan.

“Sudah sampai masanya untuk kita bersama-sama berganding bahu dan terjemahkannya dalam Perhimpunan Agung kali ini. Kita harus mematuhi arahan ketua dan jangan bertelagah sesama sendiri. Kita harus tebus kembali kekalahan pada tahun 2008,” ujarnya lagi.

Selain itu menurut beliau, perhimpunan kali ini harus diterjemahkan dan dilihat dalam konteks program transformasi negara.

Semua ahli UMNO harus melihat bagaimana program transformasi kerajaan dan ekonomi telah dilakukan. Malah transformasi politik yang telah dilaksanakan juga membuahkan hasil.

“Seperkara lagi, perhimpunan agung kali ini juga akan mendapat sentuhan ajaib daripada kumpulan yang bukan ahli UMNO. Masa untuk UMNO hanya untuk ahli UMNO telah berlalu. UMNO perlu bergerak untuk semua peringkat agar sama-sama dapat menjiwai Perhimpunan Agung kali ini.

“Alangkah manisnya dalam perjuangan ini, apabila kita memperjuangkan nasib orang Melayu dan semua rakyat agar bersama-sama kita bergerak ke hadapan untuk menebus maruah dan membawa kita ke satu negara yang lebih baik menuju 2020.

“Inilah yang ingin saya lihat dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini dan saya yakin perhimpunan kali ini adalah satu perhimpunan yang lain dari sebelumnya,” katanya lagi. –MediaUMNO.
Share this post :

+ comments + 1 comments

November 19, 2011 at 4:50 PM

Sudah sampai masanya ketumbukan ini digunakan sebaik-baiknya..Mohon di linkkan blog saya tk..

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger