Headlines News :
Home » » ZAIDI TANDING KETUA BAHAGIAN , BAWA AGENDA BARU UMNO PERMATANG PAUH

ZAIDI TANDING KETUA BAHAGIAN , BAWA AGENDA BARU UMNO PERMATANG PAUH




PERMATANG PAUH 26 Ogos - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan UMNO September ini.

Menurutnya, beliau menawarkan sebuah pasukan yang dinamakan 'pasukan transformasi' yang terdiri daripada muka baharu dan lama untuk membawa perubahan kepada UMNO bahagian tersebut.


Selain itu, katanya, matlamat utama pasukan berkenaan adalah untuk menumbangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Saya rasa sudah tiba masa pucuk pimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh berubah kepada tenaga muda yang akan membawa satu agenda baharu kepada UMNO seterusnya merampas kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada Anwar.

"Saya sudah menyediakan sebuah pasukan transformasi yang mendapat sokongan akar umbi untuk merubah kepimpinan UMNO bahagian di semua lapisan serta menerima sokongan daripada semua sayap parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Zaidi menambah, beliau juga yakin perubahan yang dibawa itu tidak membawa perpecahan dalam kalangan ahli kerana semua cawangan dilihat menyambut baik hasratnya.

Oleh itu, jelasnya, beliau amat berharap Ketua UMNO bahagian sedia ada, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dapat melepaskan jawatan yang disandang dengan baik dan sedia memberi laluan kepada pasukan transformasi berkenaan.

"Kami menghormati dan menghargai sumbangan beliau (Jalil) selama ini, namun saya rasa sudah tiba masa beliau memberi laluan kepada orang baharu untuk menerajui UMNO bahagian.

"Malah semua cawangan juga amat berharap proses peralihan kuasa itu nanti akan berjalan lancar dan beri peluang kepada kami untuk menerajui UMNO bahagian pada masa depan," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger