Headlines News :
Home » » UMNO BANTU 20 KELUARGA MANGSA RIBUT DI TASEK GELUGOR @dzainalabidin

UMNO BANTU 20 KELUARGA MANGSA RIBUT DI TASEK GELUGOR @dzainalabidin


TASEK GELUGOR 17 Jun - Sebanyak 20 keluarga di kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kuat Khamis lalu menerima bantuan bencana alam daripada UMNO. Mereka yang terbabit terdiri daripada penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua yang terpaksa menanggung kerugian setelah rumah mereka rosak dipukul ribut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk terlibat. "Ribut yang melanda negeri ini Khamis lalu turut mengakibatkan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai mengalami kerosakan.

"Pihak UMNO Bahagian Tasek Gelugor amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk dan atas dasar itu kita telah memberi bantuan sebanyak RM300 untuk 20 keluarga supaya mereka dapat menggunakan wang tersebut untuk membaiki rumah yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, penduduk yang ditimpa bencana harus menjadikan kejadian tersebut sebagai iktibar dan menerimanya dengan reda. Sementara itu, seorang penduduk, Nayan Mat, 59, berkata, kejadian angin kencang dan ribut yang berlaku baru-baru ini adalah kejadian yang pertama pernah berlaku kepada mereka sekeluarga.

"Tidak sangka pada hari itu angin terlalu kuat hingga merosakkan bahagian bumbung rumah saya dan kerosakan teruk boleh dilihat di bahagian dapur.

"Kos untuk membaiki keseluruhan bumbung pula agak tinggi dan dengan pemberian bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya untuk membaikinya," ujarnya.

Zawiyah Jaafar, 44, pula memberitahu, sejak rumahnya dipukul ribut, mereka sekeluarga tidak selesa kerana bahagian bumbung yang rosak teruk masih belum mampu untuk dibaiki.

"Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan kesihatannya juga tidak menentu sejak kebelakangan ini. Jadi, suami tidak mampu untuk membaiki bumbung sendiri.

"Bantuan sebanyak RM300 ini akan saya gunakan untuk membaiki bumbung yang rosak kerana sekarang ini setiap hari hujan dan kalau tidak dibaiki segera, rumah kami akan basah," katanya.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger