Headlines News :
Home » » Cabar ADUN UMNO pulang gaji bukti bahawa DAP tidak bijak.

Cabar ADUN UMNO pulang gaji bukti bahawa DAP tidak bijak.

GEORGETOWN - Pakatan Rakyat (PR) dilihat sudah ketandusan idea untuk menutup kelemahan dengan membangkitkan cabaran kepada 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) supaya memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat sekiranya curiga dengan hasil yang diterima Kerajaan Negeri.

ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah berkata, cabaran itu jelas menunjukkan bahawa PR masih lagi lemah dalam selok belok pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kenyataan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Eik yang mencabar 11 ADUN UMNO mengembalikan semula gaji dan elaun mereka adalah kenyataan orang yang terdesak selain tidak memahami pengurusan wang negeri.

Arif Shah berkata, seperti yang diakui oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa duit yang disalurkan oleh kelab lumba kuda itu adalah untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat. “Mereka masih lagi tidak faham tentang pembayaran gaji dan elaun kepada wakil rakyat. Jika PR tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan khazanah dan hasil Kerajaan Negeri, serahkan semula pentadbiran kepada BN dan jangan mengeluarkan kenyataan yang bodoh tanpa meneliti faktanya terlebih dahulu.

“Guan Eng sendiri akui bahawa duit itu adalah untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang dan ia tidak ada kena mengena langsung dengan gaji dan elaun ADUN,” katanya.

Menurutnya, isu mengenai gaji dan elaun ADUN tidak timbul kerana ia sudah dibincangkan berkali kali dalam bajet tahunan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun apa yang menyedihkan mereka (PR) masih lagi gagal memahami perkara itu.

Sementara itu, ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed berkata, sekiranya mereka mahu 11 ADUN UMNO mengembalikan gaji dan elaun wakil rakyat kepada Perbendaharaan Negeri, perkara yang sama juga perlu dibuat oleh semua umat Islam yang bekerja dengan Kerajaan Negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman dan Exco Hal Ehwal Agama Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Abdul Malik Abul Kasim.

“Kalau benar wang itu adalah duit haram, bukan kami 11 ADUN sahaja yang patut pulangkan malah seluruh umat Islam yang bekerja dengan Kerajaan Negeri termasuk Mufti perlu pulangkan duit itu.

“Mereka masih tidak faham cara mentadbir Kerajaan Negeri, apa yang kami terima itu adalah hak kami,” katanya. - SinarHarian
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger