Gerakan hari ini membidas kerajaan DAP Pulau Pinang kerana didakwa membazirkan wang rakyat sebanyak RM3.2 juta semata-mata mahu membayar yuran perunding dari luar bagi menjayakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.
Tindakan itu dianggap membazir kerana ia dikatakan masih belum diluluskan sedangkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meneruskan pembinaan terowong dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam.
Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan Gerakan negeri, Teh Leong Meng berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk orang ramai terlebih dahulu mengenai pelan tersebut dan menunggu kelulusan sebelum melantik mana-mana perunding.
“Kerajaan negeri sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat bagi pembinaan terowong dasar laut.
“Sepatutnya mereka mendapatkan pandangan orang ramai mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang sehingga diluluskan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu-Lintas negeri, Chow Kon Yeow berkata, pelan tersebut dipamerkan di tempat awam mulai Isnin lalu sehingga 28 April ini bagi mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.
Post a Comment