Pemuda Gerakan Pulau Pinang meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan secara terperinci berhubung projek pembinaan kilang panel solar di Batu Kawan.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Rich Too berkata, pihaknya telah beberapa kali meminta Guan Eng membuat penjelasan tetapi jawapan yang diberikan tidak menepati soalan yang dibangkitkan.
"Kita mahu penjelasan berhubung kesan terhadap alam sekitar dan apa tindakan kerajaan negeri bagi mengelak insiden tidak diingini daripada berlaku. Kita juga risau kerana kawasan itu sangat hampir dengan kediaman penduduk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bosch Group dari Jerman dilaporkan akan melabur RM2.2 bilion bagi membina kilang pengeluaran panel solar itu.
Too berkata, Gerakan tidak menentang teknologi solar itu tetapi kerajaan negeri pimpinan DAP seharusnya memastikan kilang itu dibina di kawasan yang betul dan tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk dan ekosistem. - BERNAMA
Post a Comment