Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata pihaknya terutama jentera parti sudah bersedia untuk memperbetulkan kembali kesilapan sehingga terlepas satu kawasan parlimen ke tangan pembangkang.
“Kita telah bersedia dan perbetulkan apa jua kesilapan kita yang lalu. Malah jentera kita pun sudah digerakkan awal lagi.
“Bagi kita peluang untuk Barisan Nasional (BN) ambil semula Parlimen Balik Pulau amat cerah tapi kita mesti teruskan momentum jentera kita hingga saat akhir”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Malah katanya kegagalan pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang ditambah dengan prestasi ahli parlimen kawasan ini memberikan BN banyak kelebihan.
Pengundi tambah belai lagi mahukan wakil rakyat yang buat kerja dan sentiasa membela nasib mereka bukan wakil rakyat bermusim.
“Wakil rakyat parlimen yang ada walaupun anak tempatan tetapi tidak tinggal di sini. Ramai penduduk di sini tak kenal pun wakil rakyat parlimen mereka walaupun sudah empat tahun pilihanraya umum berlalu.
“Kita cukup optimis dengan jentera yang bersepadu serta calon yang disenangi dan dikenali penduduk, kita bukan sahaja mampu kekal kawasan DUN yang kita menangi malah mengambil semula kawasan parlimen yang dimenangi PKR”, ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang berkata faktor politik semasa terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keyakinan rakyat terhadap BN semakin hari semakin positif.
“Rakyat bukan saja percaya dengan agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri malah banyak manfaat yang telah pun rakyat perolehi tanpa mengira kulit, bangsa dan fahaman politik seperti bantuan BR1M, wang untuk pelajar, pelbagai subsidi serta banyak lagi yang diterima pelbagai golongan masyarakat.
“Mesej kita, jentera kita sudah bersedia dan kita yakin juga rakyat khususnya pengundi sudah tidak mahu lagi terpedaya dengan janji-janji pembangkang”, katanya. -MediaUMNO
Post a Comment