Cubaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan kenapa kerajaan melepaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, sehingga diberikan jawatan oleh syarikat Singapura, memakan diri hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, tindakan Guan Eng (DAP-Bagan) yang cuba menunjukkan perhargaan bagi pihak pembangkang terhadap usaha Hassan memajukan Petronas, bertentangan dengan serangan yang dibuatnya terhadap Petronas dan Hassan semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri pada 2008.
"Saya gembira kerana YB Bagan kini puji Tan Sri Hassan sebab saya masih ingat selepas menjadi Ketua Menteri pada tahun 2008, antara kritikan pertama yang beliau lakukan ialah terhadap pengurusan tertinggi Petronas.
“YB Bagan telah mengeluarkan komen bahawa pegawai atasan Petronas iaitu Tan Sri Hassan sering berbelanja dengan tinggi seperti menggunakan jet milik Petronas. Itu dulu la tapi sekarang dah puji,” katanya kepada satu pertanyaan Guan Eng semasa sesi soal jawab.
Guan Eng meminta Perdana Menteri menyatakan sebab kenapa kerajaan melepaskan Hassan dan menyifatkan kehilangan itu sebagai satu tamparan terhadap usaha menarik balik hampir dua juta orang berbakat yang meninggalkan Malaysia sejak merdeka serta berapa ramai yang berjaya ditarik balik sejak Talent Corp ditubuhkan.
Nor Mohamed berkata, Hassan memang diakui seorang tokoh korporat yang banyak menyumbang kepada negara.
"Kita yakin beliau akan terus menyumbang dari luar negara menerusi jaringan perniagaan dan jawatan yang disandangnya di Singapura dan ini akan membantu mengeratkan lagi hubungan antara dua negara,” katanya. - BERNAMA
Post a Comment