Kenyataan Media
Dato' Zainal Abidin Osman
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Pulau Pinang
Selasa 12 Ogos 2014
Jawapan Balas Kepada Kenyataan Akhbar YB En Jagdeep Singh Deo, EXCO Perumahan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat 8 Ogos 2014
1. Dengan hormatnya saya merujuk kepada Kenyataan Media YB En Jagdeep Singh Deo, EXCO Perumahan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat 8 Ogos. Dalam Sidang Akhbar saya pada Khamis 7 Ogos 2014 lalu, saya tidak menyatakan bahawa permohonan projek-projek perumahan untuk rakyat yang dikemukakan oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tersebut telah ditolak (rejected) oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC). Saya secara jelas menyatakan bahawa permohonan-permohonan tersebut belum diberi kelulusan oleh SPC walaupun semuanya sudah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Saya juga menyatakan bahawa perlaksanaan projek-projek perumahan untuk rakyat tersebut terbantut dan tidak dapat dilaksanakan kerana SPC tidak memberi atau belum memberi kelulusan untuk membolehkan projek-projek tersebut di mulakan.
2. Pihak saya sedia maklum setiap permohonan pembanguan perumahan perlu mematuhi semua syarat-syarat ketat teknikal yang telah ditetapkan pihak berkuasa negeri. Namun begitu sejak permohonan dibuat sehingga kini,agensi-agensi Persekutuan yang telah mengemukakan permohonan-permohonan projek-projek perumahan untuk rakyat tersebut tidak dimaklumkan mengenai sebarang permohonan yang tidak mematuhi syarat-syarat teknikal yang telah ditetapkan atau diarahkan melakukan apa-apa pindaan oleh OSC.
3. Pihak saya juga mendapat maklum balas bahawa semua permohonan pemajuan perumahan rakyat tersebut telah diperakui oleh Jabatan-jabatan teknikal yang terlibat sebagai mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di peringkat OSC.
4. Sehingga Ogos 2014, permohonan untuk pemajuan lebih 9000 unit perumahan untuk rakyat yang merangkumi rumah jenis Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Mampu Milik sudah dibuat kepada pihak berkuasa negeri dan belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa negeri. Saya percaya PR1MA juga akan menerima nasib sama jika mengemukakan permohonan mereka.
5. Sejak 2013,agensi-agensi Kerajaan Persekutuan telah membina dan sedang dalam pembinaan sejumlah 7,800 unit perumahan untuk rakyat. Sejumlah 32 ribu unit perumahan lagi termasuk oleh PR1MA sedang dalam perancangan untuk dibina. Sekiranya kesemua permohonan pemajuan perumahan untuk rakyat ini mendapat layanan yang serupa oleh pihak berkuasa negeri sebagaimana yang dinikmati oleh pemaju-pemaju perumahan swasta, maka sasaran penyediaan unit-unit perumahan untuk rakyat sebagaimana yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri berjumlah 20 ribu unit akan tercapai,malah akan mengatasi sasaran yang ditetapkan.
6. Saya akan menghantar surat rayuan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada18 Ogos nanti berhubung kelewatan kelulusan permohonan projek-projek berkenaan oleh SPC, serta menyenaraikan butiran-butiran lengkap permohonan pemajuan kesemua projek yang merangkumi lebih 9 ribu unit perumahan untuk rakyat yang ditangguh kelulusannya oleh SPC, beserta tarikh setiap permohonan dihantar kepada OSC untuk pertimbangan dan kelulusan.
7. Sebagai mewakili kerajaan Persekutuan, saya tidak memohon diberikan pertimbangan khas atau pengecualian sebarang syarat-syarat perancangan atau teknikal yang telah ditetapkan. Saya hanya mohon Kerajaan Negeri untuk memberikan kelulusan biasa kepada projek-projek berkenaan dalam tempoh masa biasa seperti masa diberikan kepada permohonan pemaju-pemaju perumahan swasta yang lain, demi kepentingan rakyat Negeri Pulau Pinang.
Terima kasih.
Pulau Pinang
12 Ogos 2014
Penggantungan Tajudin Rahman Di Tarik Balik
-
Penggantungan Tajudin Rahman Di Tarik Balik Ibarat biduk berlalu,
kiambang bertaut. Demi perjuangan untuk agama, tanah air dan bangsa,
ketepikan persel...
10 hours ago
Post a Comment