Headlines News :
Home » » PEMUDA UMNO P.PINANG DESAK KERAJAAN DAP PINDAH LADANG BABI

PEMUDA UMNO P.PINANG DESAK KERAJAAN DAP PINDAH LADANG BABI




PULAU PINANG 6 Julai – Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak penularan virus Japanese Encephalitis (JE) dengan memindahkan ladang ternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini ke kawasan lain.
Timbalan Ketua Pemuda UMNO negeri, Jasmin Nordin berkata, sudah tiba masanya ladang ternakan babi itu dipindahkan jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Menurut beliau, perkara itu memandangkan kawasan tersebut kini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tidak lagi sesuai untuk berjiran dengan kandang babi.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang harus mengambil kira keperluan masyarakat dan tidak menjadikan desakan ini satu isu perkauman kerana virus JE tidak mengenal kaum dan agama.

"Ladang babi ini perlu diubah sebelum perkara lebih buruk berlaku ke atas penduduk di kawasan terbabit yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus JE," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Dalam lawatan itu, sebanyak 130 hamper diserahkan kepada pesakit dan petugas wad berkenaan sempena Ramadan tahun ini.

Tambah Jasmin, biarpun keputusan laporan makmal ke atas 181 sampel darah babi yang diambil di 20 buah ladang ternakan haiwan berkenaan di sekitar kawasan Kampung Selamat didapati negatif, namun semua pihak harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Satu alternatif perlu diambil untuk mencari kaedah bagaimana menukar lokasi ladang itu supaya tidak membebankan mana-mana pihak serta mampu menyelamatkan nyawa penduduk," ujarnya.
Setakat ini, dua kanak-kanak disahkan dijangkiti virus berkenaan dengan kes pertama membabitkan Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger