Headlines News :
Home » » Polis buka kertas siasatan kekacauan ceramah di Guar Perahu

Polis buka kertas siasatan kekacauan ceramah di Guar Perahu


GEORGETOWN- Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki yang mencetuskan kekacauan pada dua ceramah politik di Guar Perahu, Penanti dan di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada Sabtu dan Ahad lepas.

 Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya. 

"Pegawai penyiasat saya sedang mengumpul maklumat untuk menyiapkan kedua-dua kertas siasatan itu sebelum ia dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Perwira Lahad Datu, di sini semalam.

 Katanya polis telah mengambil keterangan seorang lelaki yang dipercayai mengetuai sekumpulan penyokong parti pembangkang bagi membantu siasatan kes mengganggu ceramah anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin di Sekolah Menengah Guar Perahu.

 Beliau berkata bagi kes kekecohan majlis makan malam yang dihadiri anggota Parlimen Batu Tian Chua, polis turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan.

 Dalam kejadian itu, sekumpulan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghalang dan menumbuk kereta yang dinaiki Tian Chua. Bagaimanapun polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan yang berada di tempat kejadian berjaya mengawal keadaan.

 Abdul Rahim menasihatkan parti-parti politik yang ingin mengadakan ceramah agar memohon permit dan memaklumkan kepada polis supaya majlis mereka mendapat kawalan keselamatan.

 "Dua majlis berkenaan memang dimaklumkan polis dan kita berjaya atasi kekecohan itu berikutan tindakan pantas anggota mengawal keadaan di situ, jadi saya mahu mana-mana parti politik yang mahu anjurkan ceramah maklumkan kepada polis supaya senang kita ambil tindakan," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger