Headlines News :
Home » » Shabery kecewa peniaga belia P.Pinang dianaktirikan kerajaan Dap

Shabery kecewa peniaga belia P.Pinang dianaktirikan kerajaan Dap





Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menutup peluang golongan belia, khususnya orang Melayu untuk bekerja sendiri disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan zalim.

 Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau menerima banyak aduan dan rungutan daripada golongan tersebut yang terhimpit kehidupan sejak negeri ini diperintah oleh pembangkang.

Menurutnya, sebagai kerajaan negeri, DAP sepatutnya memberi kebajikan kepada rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin.

 "Golongan ini (belia) juga ada keluarga untuk disara. Kalau mereka buat kerja terlarang seperti jenayah kerana tiada kerja, siapa yang susah? Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab tentang soal sara hidup rakyat.

 "Pembangkang sering memperjuangkan tentang hak asasi manusia, tetapi peniaga kecil di Pulau Pinang dihalau, tempat niaga dirampas serta diroboh," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog bersama sekumpulan penjaja dan usahawan kecil yang pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan tanpa alasan kukuh oleh kerajaan negeri di Teluk Bahang di sini hari ini.

Ada di antara mereka masih mempunyai pinjaman perniagaan dengan bank dan agensi Kerajaan Pusat, tetapi tidak dapat membuat bayaran balik berikutan hilang mata pencarian.

Ahmad Shabery memberitahu, modus operandi Kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap peniaga kecil sedemikian tidak mustahil berlaku di negeri-negeri lain yang ditadbir pembangkang pada masa depan.

Mengenai nasib penjaja dan usahawan kecil yang ditemui hari ini, beliau menjelaskan, pihaknya akan cuba untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka berniaga semula.


Mengulas mengenai sokongan golongan muda terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pula, beliau berkata, peningkatannya begitu mendadak.

 Jelasnya, hasil kajian dan program turun padang yang diadakan, rata-rata anak muda menyambut baik dasar yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


 "Mereka menghargai usaha serta pendekatan Perdana Menteri terutama dari segi kebajikan dan program transformasi. Pemikiran imaginatif dan celik IT (teknologi maklumat) oleh Perdana Menteri begitu sesuai dengan anak-anak muda," ujarnya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger