Headlines News :
Home » » Kereta kerajaan DAP dirantai gara-gara halang lalulintas

Kereta kerajaan DAP dirantai gara-gara halang lalulintas



GEORGETOWN - Tayar kereta milik sebuah jabatan Kerajaan Negeri yang diparkir di luar pekarangan Dun dirantai dan dikunci oleh ahli Parti Cinta Malaysia (PCM) kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Pemuda PCM, Liew Yeow Hooi berkata, mereka mengunci roda kereta Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) kerana ia mengganggu aliran lalu lintas dan mendatangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah untuk mendidik ahli politik dan kakitangan Kerajaan Negeri supaya berhemah dan tidak meletak kenderaan sesuka hati di bahu jalan walaupun ia merupakan kenderaan kerajaan.

“Saya menerima aduan daripada orang ramai bahawa kenderaan di luar pekarangan Dun mengganggu aliran lalu lintas di situ. Oleh itu, saya bersama beberapa ahli PCM datang untuk mengunci roda salah sebuah kereta supaya menjadi pengajaran kepada mereka yang parkir di situ.

“Peraturan mahupun undang-undang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang bukan sahaja perlu dipatuhi oleh orang ramai tetapi ahli politik dan kakitangan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, jika rakyat biasa dikenakan denda RM50 untuk kesalahan menghalang lalu lintas, beliau mahu denda itu digandakan untuk ahli politik dan kakitangan Kerajaan Negeri jika meletakkan kenderaan sesuka hati atau melanggar peraturan lalu lintas.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Adun Komtar, Ng Wei Aik berkata tindakan ahli PCM adalah keterlaluan dengan mengambil kuasa sesuka hati dan mengunci roda kereta itu.

“Ahli PCM sepatutnya memaklumkan aduan yang kononnya diterima daripada orang ramai kepada MPPP atau pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Bukannya, bertindak luar bidang kuasa mereka.

“Berhubung dengan hal ini, saya akan membuat satu laporan polis terhadap PCM dalam masa terdekat,” katanya.
Share this post :

+ comments + 1 comments

October 25, 2011 at 11:30 PM

lebih sudu dari kuah....

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger