PERMATANG PAUH, 29 Julai – Biarpun pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, Barisan Nasional (BN) tidak diberikan peluang untuk berkhidmat secara rasmi, namun berpegang kepada cogan kata parti yang sentiasa berkhidmat kepada rakyat, maka pelbagai usaha pembelaan kepada masyarakat tetap diteruskan.
Selari dengan itu, program bertemu masyarakat dan penduduk di sekitar Permatang Pauh tetap menjadi rutin bagi Ketua UMNO bahagian kawasan berkenaan, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira penat dan lelah
Kita sering adakan program bantuan rakyat serta pelbagai program ziarah yang lain dan memang tidak pernah putus. Boleh dikatakan saban minggu kita ada dan selain itu kita juga ambil berat soal-soal pendidikan.
“Dua aspek inilah yang menjadi keutamaan kita daripada dahulu. Program pendidikan dan juga bantuan ini adalah berterusan daripada UMNO/BN Permatang Pauh untuk masyarakat di sini yang sentiasa diberikan keutamaan. Dalam keadaan macam mana sekali pun baik ketika jadi pembangkang dan kerajaan bersama dengan parti-parti lain, kerja-kerja membantu tetap berjalan seperti biasa,” katanya.
UMNO-Online yang berkesempatan turun padang bersama beliau dalam beberapa program ziarah dan bertemu masyarakat dapat melihat dengan jelas kemesraan serta harapan penduduk yang inginkan perubahan di kawasan tersebut.
Mohd Zaidi seterusnya menambah inilah yang membezakan UMNO/BN dengan parti-parti lain yang sentiasa ke depan dan sentiasa mengutamakan soal kepentingan serta kebajikan masyarakat dalam apa jua keadaan.
Tambahnya UMNO daripada dulu sememangnya matlamat sentiasa mengutamakan rakyat serta ditubuhkan untuk membantu masyarakat dan bukannya ditubuhkan semata-mata untuk mengejar kuasa dan jawatan.
“Sebab itulah UMNO ini parti yang ada akar umbi yang ada di merata ceruk dalam negara. Matlamat kita menyertai UMNO adalah untuk membantu rakyat. Sebab itulah pimpinan UMNO ini sangat dekat dengan rakyat dalam keadaan apa sekalipun.
“Tidak ada parti dalam negara kita ini yang berkhidmat sebagiamana perkhidmatan yang diberikan oleh UMNO. Sebab itulah sudah menjadi tradisi bagi UMNO mendekati masyarakat setempat dalam apa juga keadaan. Ini berbeza dengan parti-parti politik yang hanya tumbuh atau pun wujud ketika menjelangnya pilihan raya.
“Apatah lagi ada juga pemimpin yang datang dariapada parti mana yang tiba-tiba timbul sewaktu pilihan raya dan UMNO bukan dalam keadaan sedemikian. UMNO adalah parti yang sememangnya berakar umbi berasaskan perjuangan untuk rakyat demi membangunkan negara dan ini adalah suatu kelebihan yang ada pada UMNO,” tambahnya.
Ditanya sejauh mana kesipasiagaan UMNO/BN Permatang Pauh, Mohd Zaidi menjelaskan sememangnya berdasarkan gerak kerja yang tidak pernah berubah, soal pilihan raya tetap menjadi keutamaan dan rakyat Permatang Pauh tahu siapa yang sebenarnya berkhidmat untuk mereka.
“Alhamdulillah rakyat di sini merasai kewujudan UMNO dalam apa jua keadaan. Jadi soal persiapan untuk berdepan PRU bila-bila masa sahaja dan jentera setempat insya-Allah tidak mempunyai masalah untuk menghadapinya. Apabila signal berbunyi kelak, maknanya kita akan bergerak untuk melaksanakan strategi kita nanti,” ujarnya.- UMNO Online
Post a Comment