Polis menahan Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung insiden rusuhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, Ahad lepas.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata Shaikh ditahan selepas diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Tengah (SPT), di Bukit Mertajam ,Rabu untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya beliau difahamkan penahanan itu adalah atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat Shaikh selepas muncul mesej yang dipercayai disebarkan pihak tertentu.
"Kami percaya penahanan Shaikh itu adalah ekoran mesej daripada kumpulan Whatsapp yang tersebar membabitkan apa yang ditulis Ketua UMNO Bahagian Bagan itu dalam kumpulan berkenaan.
"Saya berpendapat bukan Shaikh yang cuba menghasut sebaliknya orang yang berada dalam kumpulan Whatsapp itu yang cuba menimbulkan perkara yang menggugat ketenteraman negara," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD SPT, di sini.
Sebelum ini, penulis blog Papagomo, Wan Mohd Azri Wan Deris, ditahan polis di bawah Akta Hasutan berhubung insiden di Plaza Low Yat.
Terdahulu, Musa menemani bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang itu ke IPD SPT kira-kira pukul 2 petang sebelum ditahan oleh dua anggota polis di luar balai polis itu.
Difahamkan, penyebaran mesej itu didapati mempersoalkan tindakan polis yang hanya menahan remaja lelaki Melayu sahaja untuk didakwa dan tidak peniaga Cina yang turut terbabit hingga mencetuskan pergaduhan.
Musa berkata walaupun kesal perkara sedemikian berlaku, beliau akur dengan undang-undang dan meminta polis turut menyiasat orang yang menyebarkan mesej itu.
"Kumpulan Whatsapp ini adalah perbincangan tertutup dan semestinya penyebaran ini dilakukan oleh orang dalam kumpulan itu sendiri yang mana secara tidak langsung orang terbabit yang cuba menghasut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Kenyataan mengenai perkara itu (tangkapan) akan dibuat oleh Ketua Polis Negara," katanya.-15/7/2015
Post a Comment