KERAJAAN Pulau Pinang abaikan usaha membina Perumahan RAKYAT
Kenyataan Media
Datuk Seri Zainal Abidin Osman
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang
Rabu, 8 Julai 2015
Kenyataan balas kepada kenyataan YB Jagdeep Singh Deo, EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pulau Pinang pada Khamis, 2 Julai 2015.
Dalam pertemuan saya, Perda dan JKP Sdn Bhd dengan YB Jagdeep Singh Deo, EXCO Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang pada Rabu 17 Disember 2014, isu-isu yang menjadi halangan bagi pihak Kerajaan Negeri meluluskan 15 Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon telah dibincangkan satu persatu dan dikenalpasti.
PERDA dan JKP Sdn Bhd juga bersetuju untuk meminda komponen beberapa projek supaya selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri. Exco Perumahan juga bersetuju PERDA dan JKP Sdn Bhd memberikan justifikasi komponen perumahan dan harga yang dicadangkan untuk beberapa projek.
Kerajaan Negeri nampaknya sengaja mencari alasan untuk tidak meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd.
Permohonan kedua-dua agensi yang dikemukakan lebih awal daripada tarikh Kerajaan Negeri memperkenalkan polisi Perumahan Mampu Miliknya yang sepatutnya tidak tertakluk kepada polisi berkenaan juga tidak diluluskan.
Dalam perjumpaan dengan Exco Perumahan pada penghujung tahun lalu, beberapa permohonan yang dikemukakan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd dipersetujui menepati syarat-syarat yang dikenakan Kerajaan Negeri dan sepatutnya diberikan kelulusan juga masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.
Salah satu projek JKPSB dikenakan syarat membayar RM 500,000 kepada MBPP sebagai gantirugi kos pembaikan akibat pemancar telekomunikasi runtuh di Menara UMNO sebelum permohonan PKM diluluskan. Pembayaran telah dibuat pada Januari 2015 namun hingga kini tiada kelululusan diberikan bagi projek berkenaan.
Pihak saya tidak dapat mengelak untuk berpandangan bahawa Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang adalah seorang Exco tanpa kuasa seperti " anak harimau tiada gigi ".
Ini adalah kerana YB Exco sendiri memberi jaminan semasa perjumpaan tersebut kelulusan Pelan Kebenaran Merancang akan diberikan secepat mungkin kepada permohonan-permohonan berkenaan.
Saya ingin mengingatkan YB Exco Perumahan bahawa piagam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi permohonan Pelan Kebenaran Merancang ; keputusan Kebenaran Merancang perlu diberi dalam tempoh 8 minggu daripada tarikh penerimaan pelan yang ditunaikan syarat.
Walaupun kesemua syarat-syarat yang dikemukakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tersebut telah dipatuhi, pihak JKPSB contohnya, masih tidak menerima sebarang maklum balas secara bertulis daripada pihak PBT mengenai status kelulusan permohonan- permohonan tersebut.
Permohonan PERDA dan JKP Sdn Bhd seawal tahun 2011 juga masih belum mendapat maklum balas dari pihak berkuasa negeri.
Pihak saya juga tidak dapat mengelak dari merumuskan Kerajaan Negeri dengan sengaja mencari alasan untuk menggagalkan usaha dan rancangan agensi Kerajaan Pusat untuk menyediakan perumahan bagi rakyat Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri mencari dan mencipta alasan untuk menolak permohonan-permohonan yang dikemukakan JKPSB dan PERDA setelah mesyuarat SPC tanpa sebarang justifikasi berkali-kali menangguh kelulusan permohonan-permohonan berkenaan.
Kerajaan Negeri tidak sepatutnya bermain politik dalam penyediaan perumahan untuk rakyat.
Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa mengajak pihak saya untuk berbincang berdasarkan fakta tetapi beliau sendiri menggunakan fakta yang salah.
Fakta:
1. Sebanyak 2447 unit (25.9% dari 9444 unit) adalah rumah Kos Rendah (jenis teres dan pangsapuri) dan ditawarkan pada harga RM35, 000 dan RM 42, 000 seunit;
2. Peratusan komponen rumah di bawah siling harga mampu milik kerajaan negeri adalah pada 64.21% dari keseluruhan jumlah yang dicadangkan.
***Bukan sepertimana yang didakwa oleh YB Exco majoriti komponen perumahan yang dipohon melebihi paras harga mampu milik kerajaan negeri.
3. Kelulusan permohonan projek JKP Sdn Bhd di Kampung Pisang Awak yang dirujuk YB Exco dalam kenyataannya sebelum ini diperolehi pada tahun 2009. Ini berlaku sebelum kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan polisi perumahan yang baru.
Saya ingin ulangi bahawa pihak PERDA dan JKP Sdn Bhd sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyediakan perumahan yang selesa dan mampu dimiliki oleh rakyat Pulau Pinang.
Ini terbukti bilamana pihak saya bersama JKPSB dan PERDA telah bersetuju untuk berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan YB Exco Perumahan sebagaimana yang diminta oleh YAB Ketua Menteri.
Sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang saya telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri sendiri yang juga Pengerusi Jawantankuasa Perancangan Negeri (SPC) untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan dengan permohonan Pelan Kebenaran Merancang oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd.
Ketua Menteri meminta saya berurusan dengan YB Exco Perumahan terlebih dahulu dan beliau berjanji akan berjumpa saya sekiranya isu-isu tidak dapat diselesaikan di peringkat Exco Perumahan.
Ketua Menteri tentunya lebih tahu YB Exco tiada kuasa untuk membuat keputusan meluluskan pelan Pelan Kebenaran Merancang kerana hanya SPC yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri sahaja berkuasa melakukannya.
Sembilan(9) bulan sudah berlalu sejak saya menulis surat memohon untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Ketia Menteri.
Sehingga kini belum ada jawapan dari pihak Ketua Menteri walaupun saya sudah berjumpa dengan YB Exco dan isu permohonan PKM oleh PERDA dan JKPSB tidak juga selesai. Ini jelas menunjukkan Ketua Menteri tiada niat atau hasrat untuk meluluskan permohonan perumahan untuk rakyat.
Kerajaan Negeri lebih gemar bermain politik dalam isu-isu rakyat termasuk dalam isu perumahan. Ini bukan sikap yang sepatutnya bagi sebuah kerjaaan yang mengaku mereka mengutamakan kepentingan rakyat.
Terima kasih.
Latheefa Koya Tak Nak Masuk UMNO Ker
-
Latheefa Koya Tak Nak Masuk UMNO Ker Seteru besar DS Najib yang juga
merupakan mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM lantikan politik di era Dr
Mahathir, Lathe...
2 hours ago
Post a Comment