BUTTERWORTH . - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyasarkan pembinaan sebanyak 8,000 buah rumah mampu milik untuk keperluan rakyat di negeri ini menjelang 2016.
Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, langkah itu selaras dengan polisi Kerajaan Persekutuan yang mahu melihat rakyat Pulau Pinang memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
"Ini kerana Kerajaan DAP Pulau Pinang tiada cadangan bagi membina rumah kos rendah yang berharga RM40,000 dan mereka lebih berminat meluluskan permohonan pemaju swasta yang membina rumah mahal dan tidak mampu dibeli golongan berpendapatan rendah.
"Perda bernasib baik kerana memiliki tanah seluas 850 hektar yang akan digunakan untuk membina rumah mampu milik, cuma kita mohon kerajaan negeri memudahkan rancangan Perda membina perumahan terbabit dan jangan letak syarat yang menyusahkan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Shabudin merasmikan majlis menandatangani perjanjian jual beli rumah Taman Pancur Utama Fasa Dua yang dibina Perda kepada lebih 100 pembeli.
Menerusi projek itu, sebanyak 140 buah rumah teres berharga antara RM148,000 hingga RM316,200 dibina dan dijual kepada pembeli mengikut konsep bina dahulu, yang bermula Oktober tahun lalu dan kini hampir siap.
Mengulas perancangan untuk membina rumah mampu milik tersebut, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, ketika ini tanah-tanah yang dimiliki Perda berada di kawasan seperti Seberang Perai Utara, Bukit Mertajam, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.
"Perda seolah-olah mengambil alih tanggungjawab kerajaan negeri kerana merekalah yang sepatutnya menyediakan rumah untuk rakyat.
"Dalam hal ini, kerajaan negeri hanya tahu menaikkan premium tanah menyebabkan pemaju terpaksa membina dan menjual rumah pada harga yang sangat tinggi," ujarnya.
Menurut Shabudin, harga rumah yang dibina pemaju dijual pada harga paling rendah di negeri ini adalah sekitar RM380,000 malah di bahagian pulau ada yang mencecah RM1 juta.
''Harga rumah yang mahal itu menyebabkan rakyat tidak mampu beli hingga terpaksa berpindah ke selatan Kedah kerana harga rumah di sana lebih murah.
''Rumah yang dibina pemaju pula biasanya dibeli oleh orang luar termasuk dari Singapura dan Taiwan," jelasnya.
Post a Comment