Senator Syed Shahrir Syed Mohamud dari Pulau Pinang menggesa ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf berhubung kenyataan menggelar kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) “kucing kurap” agar isu itu dapat ditamatkan.
Menurut ahli Dewan Negara penggal pertama daripada PKR itu, kenyataan sedemikian tidak seharusnya diulangi lagi pada masa hadapan tidak kira apa justifikasi Ooi kerana ia tidak mencerminkan kelakuan seorang wakil yang dipilih rakyat.
“Sebaik-baiknya, Jeff Ooi memohon maaf,” kata Syed Shahrir kepada The Malaysian Insider.
“Pada hemat saya, setiap anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri hendaklah berhati-hati atau cermat dalam menggunakan bahasa yang boleh mendatangkan salah faham.”
Menurut bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu, kenyataan yang dikeluarkan Ooi boleh menyebabkan orang ramai hilang hormat kepada anggota Parlimen atau Adun.
“Sekalipun timbul rasa tidak puas hati, mestilah dipanggil berbincang untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik dan diselesaikan dengan baik.
“Jadi oleh kerana sudah terlanjur, mestilah dengan cara beradab beliau memohon maaf,” katanya.
Hari ini Ooi mengatakan beliau tidak akan memohon maaf walaupun Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut menggesanya berbuat demikian.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anualae) mahu Ooi memohon maaf jika beliau tidak mahu lawatan atau mesyuarat bersamanya diboikot.
Sidang media diketuai Pengerusi Anualae, Saleem Sulaiman turut disertai Kesatuan Perkhidmatan Perbandaran, Kesatuan Buruh Majlis dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kanan.
Saleem berkata, mereka kesal dengan sikap Ooi yang tidak memikirkan hati dan perasaan kakitangan MPPP yang selama ini komited menjalankan tugas. – 28 November, 2013.
Post a Comment