UTUSAN: Kenapa Permatang Pauh perlukan perubahan?
MOHD. ZAIDI: Perubahan itu diperlukan supaya ia seiring dengan transformasi yang diperkenalkan UMNO di peringkat nasional. Kita perlu memecahkan benteng bayangan Anwar Ibrahim dalam kalangan pemimpin UMNO yang masih ada di Permatang Pauh. Justeru, saya menawarkan sebuah pasukan yang dinamakan 'Pasukan Transformasi', terdiri daripada muka baharu dan lama untuk membawa perubahan kepada UMNO bahagian.
Kepemimpinan macam mana diperlukan di Permatang Pauh?
Golongan muda di sini masih berasa terpinggir daripada perjuangan politik pemimpin sekarang. Kerana itu usaha menarik golongan muda amat diperlukan. Ia terbukti apabila golongan muda menterjemahkan hasrat mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Peningkatan itu diterjemahkan oleh golongan muda yang membuktikan minat mereka terhadap UMNo makin bertambah.
Bagaimana misi Pemuda sekarang ini?
Misi saya dengan menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai misi menjatuhkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Ahli Parlimennya yang juga Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tanggungjawab itu perlu dilaksana bagi memastikan orang Melayu di kawasan tersebut tidak terus terpinggir meskipun banyak projek pembangunan di sekitarnya berjalan rancak.
Pembangunan perlu ditingkatkan di Permatang Pauh?
Pembangunan di Permatang Pauh masih perlahan. Pembangunan yang ada sekarang adalah semasa kepimpinan UMNO. Jadi, matlamat saya untuk merancakkan kembali pembangunan untuk dinikmati oleh rakyat terutama peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Saya mahu memperjuangkan pembangunan pendidikan dengan mewujudkan sebuah Sekolah Agama berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Rumah mampu milik untuk golongan miskin dan sederhana di Permatang Pauh. Selain mewujudkan peluang perniagaan baru di sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertanian.
Bagaimana harapan tiga sayap penting UMNO di Permatang Pauh?
Keputusan pemilihan tiga sayap baru-baru ini membuktikan transformasi golongan muda memerlukan pembaharuan dalam kepimpinan UMNO.
Keputusan yang ditunjukkan oleh Pemuda, Puteri dan Wanita dalam pemilihan itu menunjukkan pengaruh kepimpinan terdahulu perlu berubah. Itulah keputusan yang diterjemahkan oleh tiga sayap parti yang mahukan gandingan baharu untuk memantapkan parti di Permatang Pauh.
Post a Comment