DI tingkat 38, Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, suasana agak sibuk kerana persediaan untuk Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 yang bermula 29 November hingga 4 Disember ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan yang ditemu bual penulis memberitahu: "Ini perhimpunan agung terbesar bangsa Melayu di Malaysia tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Sebab UMNO merupakan parti Melayu terbesar, jadi perhimpunan ini adalah perhimpunan seluruh bangsa Melayu.
"Oleh itu, kita (perwakilan) kena fikirkan agenda Melayu dalam konteks negara Malaysia yang pelbagai kaum. Apakah agenda Melayu dalam konteks gagasan 1Malaysia.
"Saya berpandangan agenda Melayu dan gagasan 1Malaysia bukanlah berlawanan. Ada beranggapan semacam gagasan ini mengetepikan agenda Melayu. Ia tidak begitu.
"Sebabnya, apabila Melayu, Cina dan India serta etnik-etnik lain mengutamakan perpaduan yang tinggi iaitu konsep bukan hanya toleransi, tetapi meraikan kepelbagaian sebagai suatu kekuatan, ia akhirnya menjadi satu manifestasi atau pun hasil yang akan menguntungkan semua bangsa," kata Ahmad kepada Utusan Malaysia.
Pastinya, kata Ahmad, tema perhimpunan kali ini akan memfokuskan pasal Pilihan Raya Umum Ke-13. Lebih-lebih lagi topik winnable candidate (calon terbaik yang boleh menang).
Namun beliau menarik perhatian perjuangan yang sangat besar UMNO dan BN itu (berkenaan menang PRU-13) bukanlah muncul secara tiba-tiba dengan dibangkit dan dibahaskan hanya pada perhimpunan kali ini. Ia sebenarnya telah pun disuakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 lagi.
Malahan, persiapan pilihan raya telah dibuat sejak hari pertama Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Ahmad menyuakan kepada penulis petikan tujuh amanat Presiden UMNO itu berkisar PRU ke-13 pada ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahun lepas. Ia adalah:
1) Utamakan maruah parti, bukan kepentingan diri.
2) Pentingkan semangat berpasukan, bukan kumpulan sendiri.
3) Tawan hati, pemikiran dan keyakinan rakyat.
4) Kuasai teknologi siber dan alam maya.
5) Daftarkan 4 juta pengundi baru dan dekati mereka.
6) Selesaikan masalah dalaman, jadilah parti sifar masalah.
7) Dahulukan rakyat dalam setiap tindakan.
Menurut Ahmad, ini bererti tujuh amanat ini dijangka dibangkitkan sekali lagi oleh presiden parti. Dengan cogan kata UMNO dahulukan rakyat manakala BN pula rakyat didahulukan - dengan rakyat menjadi tumpuannya - maka selama dua tahun bermula Januari 2010, program Juara Rakyat telah pun digerakkan biro penerangan parti setiap bulan di setiap bahagian.
"Kita berada di barisan hadapan dalam segala perkara tentang rakyat, kita dengar denyut nadi rakyat, misalnya lebih 2,000 program telah dilaksanakan pada 2010, demikian juga tahun ini," katanya.
Selaku Ketua Penerangan UMNO, Ahmad percaya topik-topik berikut akan menjadi perkara penting untuk dibincangkan para perwakilan pada perhimpunan agung parti kali ini, iaitu:
1. Dasar terkini negara
- Apa pandangan perwakilan Pemuda, Wanita, Puteri dan bahagian tentang gasasan 1Malaysia. Apa yang perlu diperbaiki. Antaranya, touch point 1Malaysia yang pelbagai itu seperti PR1MA (projek perumahan rakyat), KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), SL1M (Skim Latihan 1Malaysia), Klinik 1Malaysia, Biasiswa 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Karisma (Kebajikan Rakyat 1Malaysia) dan Menu Rakyat 1 Malaysia. Ini merupakan touch point yang mana jenama 1Malaysia yang dipraktikalkan dalam bentuk produk kepada rakyat, justeru pandangan perwakilan diperlukan.
2. Dasar transformasi nasional
- Ada lima transformasi, pertama GTP (Program Transformasi Kerajaan), kedua, ETP (Pogram Trannsformasi Ekonomi), ketiga, PTP (Program Transformasi Politik), keempat, RTP (Program Transformasi Luar Bandar) dan kelima, DTP (Program Digital Malaysia). Jadi, pucuk pimpinan mahu tahu adakah mereka memahami apa itu transformasi dan maksudnya?
Maksud transformasi itu adalah perubahan besar dan adakah perubahan besar itu sampai kepada rakyat dan bagaimana untuk memperbaikinya.
3. Bajet 2012
- Ia adalah bajet yang terbaik pernah dibentangkan oleh seorang menteri kewangan. Seingat Ahmad sejak 1991, beliau secara peribadi mengikuti pembentangan bajet selaku pegawai kerajaan dan kemudian ahli politik, Bajet 2012 itu menjurus terus membantu rakyat secara langsung.
Sebelum ini bajet membantu rakyat secara tidak langsung memang banyak tetapi yang ini pula secara langsung yang mana lima anak bersekolah mendapat RM500 serta lain-lain. Semuanya ada 100 touch point dalam bajet tersebut dan ia telah disenaraikan dan akan diedarkan kepada perwakilan. Dalam kontek ini, UMNO hendak mendengar bagaimana perkara itu akan dilaksanakan. Mungkin mereka boleh berikan maklum balas.
4. Calon boleh menang
- Calon yang boleh menang itu ramai tetapi Presiden UMNO menyatakan cari yang terbaik iaitu calon yang boleh menang, yang terbaik daripada yang baik-baik itu.
Ahmad mendedahkan bagaimana 'biodata calon' sudah pun 'dikirimkan' ke ibu pejabat parti oleh individu-individu yang berkeinginan sedangkan ia adalah hak mutlak Perdana Menteri untuk membuat keputusan.
Bagi Ahmad, kalau sesiapa ingin tahu apakah difahami tentang winnable candidates oleh Perdana Menteri, cuba lihat pemilihan calon-calon pilihan raya kecil. Ini kerana sepanjang Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, calon pilihannya majoriti menang. Antaranya, di Tenang, Batu Sapi, Kerdau, Galas, Merlimau, Hulu Selangor serta semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu.
Justeru, UMNO ingin mendengar buah fikiran para perwakilan mengenai calon yang boleh menang. Dalam aspek ini, perwakilan yang dipilih untuk berucap ada skil masing-masing. Meskipun dia kadang-kadang membahaskan usul ekonomi, pandai pula dia menyelit tentang hal-hal pilihan raya.
5. Menjayakan agenda Melayu seiring Gagasan 1Malaysia
Untuk mewujudkan agenda Melayu yang berkesan, gagasan 1Malaysia perlu dijayakan. Dan untuk memajukan bangsa Melayu, kena ada 5P iaitu pertama, 'perubahan' dari segi sikap, pandangan hidup, minda perangai serta negatif kepada positif.
Keduanya, aspek 'pendidikan' iaitu bagaimana kita tingkatkan pendidikan bangsa Melayu. Kalau kaum Cina dan India, soal pendidikan adalah nombor satu dalam hidup mereka dan mereka boleh berpakat pula dengan pelbagai parti demi untuk pendidikan anak bangsa. Namun, orang Melayu tidak begitu. Tidak berlaku pakatan UMNO dan Pas untuk kemajuan pendidikan anak Melayu.
'P' yang ketiga pula ialah soal perniagaan iaitu bagaimana bangsa Melayu boleh dipertingkatkan dari segi ekonomi. Yakni, dari segi perniagaan kecil sederhana dan besar.
Keempat dari segi 'perpaduan' iaitu perpaduan sesama kita, antara pelbagai parti, ideologi, tempat dan negeri yang bersatu untuk tujuan pembaikan. Yang kelima pula adalah soal 'politik'.
Dalam konteks ini, politik mesti terus berada di tangan BN, barulah boleh majukan orang Melayu. Kalau politik sudah tidak dipimpin oleh BN, orang Melayu akan terpinggir kerana kita tahu ada parti tertentu yang cauvinis dan hanya melihat perjuangan satu kaum sahaja.
Mengakhiri pertemuan sejam itu, Ahmad memberitahu penulis: "Tidak kisah ramai atau kecil (perwakilan), yang penting ia teratur dan bersistem sebab ini adalah perhimpunan yang terpenting dan terbesar untuk orang Melayu di negara ini."
+ comments + 1 comments
Adakah Ummi Hafilda yg popular akan turut dicalunkan? Redhuan Tee confirm jd calun. Ada yg makan hati nanti bro...Takkan taktau sblm ni pun mashitah, azalina dan jamil khir terus jd menteri. Sapa pun yg terpilih, bagi pengundi tak penting pun, sebab semunya mazhab yg sama. Kaki songlap. Mana ada calun BN yg dok rumah kos sederhana. Kalau dok pun rasanya setahun jer, mcm Jamil Khir.
Post a Comment