Keputusan mutakhir berhubung pemilihan UMNO 2013 yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2103, Tan Sri Tajol Rosli hari ini memperlihatkan keputusan seri bagi dua calon jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar dan juga Khairul Azwan Harun di mana masing-masing memperolehi jumlah kemenangan yang sama sebanyak 73 undi.
Menurut tan Sri Tajol, berdasarkan situasi tersebut, pihak jawatankuasa pemilihan akan menggunakan kaedah pengiraan undi popular seperti mana yang telah diputuskan sebelum ini bagi menentukan pemenangnya.
“Seperti mana yang kita beritahu di dalam taklimat sebelum ini, kita akan menggunakan kaedah undi popular bagi menentukan siapa pemenangnya. Kita akan jumlahkan kesemua undi yang diperolehi oleh dua calon ini dari 189 bahagian di seluruh negara.
“Setelah itu, barulah kita akan dapat menentukan siapa pemenangnya bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru,” ujarnya kepada pemberita di sidang media bertempat di Aras 4, Menara Dato Onn di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Jusuh, Ibu Pejabat UMNO akan memanggil calon atau wakil calon tersebut dalam masa yang terdekat untuk menyaksikan perjumlahan semula undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon Naib Ketua Pemuda UMNO itu.
“Pihak ibu pejabat akan memanggil kedua-dua calon atau pun wakil calon selepas hari raya Aidiladha ini untuk melihat sendiri kertas undi yang diterima ini oleh kedua-dua calon ini.
“Oleh yang demikian, kedua-dua calon bolehlah datang atau menghantar wakil apabila dipanggil oleh ibu pejabat UMNO untuk melihat proses perjumlahan semula kertas undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon ini bagi menentukan siapa pemenangnya,” ujarnya.
Menurut beliau, keputusan rasmi berhubung pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda akan diberitahu kepada media setelah urusan penjumlahan semula undi untuk undi popular selesai dilaksanakan.
Manakala bagi keputusan sayap wanita pula, Datuk Seri Shahrizat mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia dengan memperolehi undi daripada 172 bahagian. Manakala bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia pula dimenangi oleh Azizah Mohd Dun yang memperolehi 127 undi bahagian.
Keputusan bagi sayap pemuda pula memperlihatkan Khairy Jamaluddin terus mengekalkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia apabila 189 memberikan undi kepada beliau.
Manakala bagi jawatan pengerusi tetap Pemuda UMNO Malaysia pula di menangi oleh Zubir Zabidi dengan memperolehi sebanyak 89 undi.
Bagi pemilihan di peringkat sayap puteri UMNO pula, Mas Ermieyati telah terpilih sebagai ketua Puteri UMNO Malaysia yang baru apabila memperolehi sebanyak 138 undi, manakala bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia pula dimenangi oleh Zahida Zarik Khan yang memperolehi 99 undi. - UMNO ONLINE
Post a Comment