Headlines News :
Home » » 3 PEMIMPIN UMNO TASEK GELUGOR SAH DIGANTUNG KESALAHAN SABOTAJ PARTI - MUSA

3 PEMIMPIN UMNO TASEK GELUGOR SAH DIGANTUNG KESALAHAN SABOTAJ PARTI - MUSA




GEORGE TOWN 1 Okt. - Keahlian tiga anggota UMNO di Pulau Pinang digantung dua hingga tiga penggal mulai semalam selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan mensabotaj parti semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, mereka ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed; Naib Ketua UMNO bahagian yang sama, Dr. Md. Rozi Yusof; dan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu, Datuk Muhamad Mustaffa Idrus.

"Saya terima surat daripada Lembaga Disiplin parti semalam dan tiga orang daripada anggota UMNO di negeri ini telah didapati bersalah kerana mensabotaj parti semasa PRU13 lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO Pulau Pinang mengumumkan keahlian 28 anggota parti itu digantung kerana disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno berikutan beberapa kesalahan.

Katanya, Jasmin yang juga Ahli Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua dikenakan hukuman penggantungan selama tiga penggal selepas didapati bersalah mengsabotaj calon Barisan Nasional (BN) di Tasek Gelugor semasa kempen PRU13 lepas.

"Md. Rozi dan Muhamad Mustaffa dikenakan penggantungan selama dua penggal kerana telah membantu dan menyokong seorang calon bebas semasa kempen pilihan raya," katanya.

Musa berkata, bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin dan ibu pejabat UMNO.

"Badan Perhubungan UMNO negeri tidak buat naya (aniaya) (merujuk kepada hukuman yang dikenakan) pada sesiapa dan kita ikut perlembagaan parti dan keputusan itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin Umno selepas didapati bersalah mensabotaj parti, jadi mereka kena terimalah hukuman," katanya. - BERNAMA

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger