Headlines News :
Home » » Pemuda BN mahu Guan Eng jelaskan mengapa tanah kerajaan dijual

Pemuda BN mahu Guan Eng jelaskan mengapa tanah kerajaan dijual



PULAU PINANG 30 Ogos - Sebanyak enam tapak kosong dan premis milik kerajaan DAP Pulau Pinang yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk rakyat didakwa dijual kepada pihak swasta sejak parti itu mentadbir pada 2008. Antaranya di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin; Jalan Free School; kedai di Jalan Hutton; sembilan kedai di Jalan C. Y. Choy dan lima kedai di Jalan Kimberley.

 Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, menerusi penjualan tanah itu kerajaan negeri dijangka mendapat keuntungan berjumlah kira-kira RM40 juta.

 "Bagaimanapun, semua penjualan yang didedahkan ini berlaku di daerah timur laut sahaja dan kita percaya ada lagi tanah rakyat di kawasan lain dijual kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 Beliau menambah, kerajaan negeri sebelum ini menjual tanah di Bayan Mutiara pada harga RM1.1 bilion. Tong Keong berkata, tanah di Pulau Pinang sangat terhad dan kerajaan negeri hanya memiliki 12 peratus kawasan untuk dibangunkan bagi kemudahan rakyat.

 Namun, katanya, tanah yang berada di kawasan tapak warisan atau tempat pembangunan penting telah 'digadai' kerajaan negeri kepada pihak swasta untuk membina rumah mewah.

 Sehubungan itu, beliau mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan tujuan kerajaan negeri menjual tapak tersebut dengan segera.

 "Rakyat ingin tahu apakah tujuannya kerajaan negeri menjual tapak tanah rakyat itu dan kawasan mana lagi yang mahu dijual kepada pemaju. "Kami tidak mahu laporan audit tahunan Pulau Pinang menunjukkan kerajaan negeri mendapat keuntungan disebabkan menjual tanah rakyat kerana ia merupakan dasar yang salah dan tidak memanfaatkan penduduk terutamanya generasi muda di negeri ini," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger