GEORGE TOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan menyediakan satu rangka kerja bagi membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh pemilik-pemilik rumah berstrata (kediaman tinggi) terutama berhubung penyelenggaraan dan pengurusan perumahan mereka.
Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow berkata cadangan untuk menyediakan rangka kerja itu adalah bagi membantu mereka yang tinggal di perumahan kos rendah dan sederhana rendah.
"Hasil kajian yang dilakukan, mereka ini (pemilik rumah berstrata) mengalami masalah dari segi kos penyelenggaraan dan pengurusan. Jadi kita mencadangkan satu rangka kerja untuk membantu pemilik-pemilik rumah berkenaan disediakan.
"Menerusi rangka kerja itu kita akan mencadangkan supaya pemberian semula semua hasil kutipan cukai pintu dan tanah kepada jawatankuasa atau perbadanan pengurusan bersama bangunan berkenaan untuk digunakan bagi tujuan penyelenggaraan dan pengurusan bangunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemilik Bangunan Tinggi, Parlimen Bayan Baru di sini, hari ini.
Beliau berkata cadangan itu adalah antara kandungan dalam manifesto BN Pulau Pinang untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya bagi rumah berstrata yang tidak mempunyai jawatankuasa mahupun perbadanan pengurusan, pihaknya mencadangkan satu agensi khas untuk menyelenggara dan menguruskannya bagi pihak pemilik.
"Dengan cadangan itu, saya percaya masalah penyelenggaran dan pengurusan di rumah-rumah berstrata dapat diatasi," katanya.
Selain itu, Teng berkata pihaknya juga mencadangkan agar satu skim untuk menyalurkan bantuan kewangan dan maklumat pengurusan kepada perbadanan pengurusan perumahan bagi penempatan perumahan pangsapuri dan kondominium dapat diwujudkan.
“Ini termasuk memberi elaun kepada pengerusi dan setiausaha pengurusan perbadanan seperti yang diberikan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Ini berikutan mereka ini perlu menyelenggara lebih 300 unit rumah," katanya.
Katanya semua cadangan itu akan dilaksanakan jika parti itu mampu menawan semula negeri berkenaan.
Post a Comment